
LAWAS: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) terus menyantuni golongan asnaf bagi memastikan anak-anak mereka tidak ketinggalan dalam memasuki alam persekolahan bagi sesi tahun ini.
Sehubungan itu, TBS dengan kerjasama Yayasan Kepimpinan Al-Bait (YKAB) telah menganjurkan Program Kembali ke Sekolah dan Jelajah YKABarber (perkhidmatan menggunting rambut) untuk anak-anak asnaf, bertempat di Dewan Hikmah Lawas.
Program Kembali ke Sekolah ini merupakan satu inisiatif yang memanifestasikan ekosistem bantuan TBS melalui alumni Akademi Latihan Insan (ALI) yang telah mengikuti kursus kemahiran menggunting rambut. Program ini telah dilaksanakan di seluruh Sarawak melalui semua pejabat bahagian TBS.

Pada program tersebut, Ketua Bahagian TBS Bahagian Limbang, Nor Nadiah Abas telah menyampaikan agihan berupa beg dan kelengkapan sekolah kepada 40 anak-anak asnaf bagi meringankan beban persiapan menghadapi sesi persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi.
Selain itu, beberapa aktiviti turut diadakan bagi memeriahkan program tersebut, antaranya pertandingan mewarna, sukaneka dan senam kesihatan.
Setakat Disember lepas, TBS telah mengagihkan sejumlah RM140.6 juta kepada golongan asnaf yang layak melalui empat program utama, iaitu Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan, Program Membangunkan Institusi Islam, Program Memantapkan Kebajikan Ummah dan Program Peningkatan Kemahiran Ummah.
Oleh Adeng Edrus