Banjir di Sibu: Enam mangsa ditempatkan di PPS Dewan Kampung Jeriah

Facebook
WhatsApp
APM Sibu memindahkan sebuah keluarga yang terjejas banjir ke PPS di Dewan Kampung Jeriah hari ini. Foto APM Sibu

SIBU: Sebuah keluarga dari Kampung Seduan Jaya terpaksa dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Dewan Kampung Jeriah di sini hari ini selepas kediaman mereka terjejas akibat banjir.

Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Sibu memaklumkan, PPS berkenaan mula dibuka dan beroperasi pada 9.30 pagi susulan keadaan banjir yang menjejaskan kawasan terbabit.

“Seramai enam orang mangsa banjir telah ditempatkan ke PPS di Dewan Kampung Jeriah setakat ini.

“Pemindahan dilakukan sebagai langkah awal bagi memastikan keselamatan serta kebajikan penduduk yang terjejas sentiasa terjamin, khususnya berikutan paras air yang menunjukkan peningkatan,” kata kenyataan tersebut.

PPS di Dewan Kampung Jeriah mula beroperasi hari ini susulan terdapat kawasan yang terjejas banjir. Foto APM Sibu

Tambahnya, pemantauan berterusan akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi menilai situasi banjir di kawasan lain, dan tindakan lanjut akan diambil sekiranya keadaan bertambah buruk.

APM Sibu turut menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan berisiko banjir agar sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Oleh Tarani Lanting