SEREMBAN: Semua kelas Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di seluruh negara dijangka dilengkapi dengan kemudahan papan pintar (smartboard) menjelang akhir tahun depan dalam usaha memperkukuh kaedah pengajaran berasaskan teknologi di institusi pendidikan awal kanak-kanak itu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendigitalan pendidikan KEMAS adalah sebahagian daripada transformasi agensi itu yang kini turut memperkenalkan pendekatan pembelajaran baharu termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) kepada kanak-kanak seawal usia dua tahun.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata penggunaan teknologi dalam pendidikan awal penting bagi memastikan murid KEMAS mendapat pendedahan kepada kaedah pembelajaran interaktif serta selari dengan perkembangan semasa.

“Saya sarankan kepada kelas-kelas KEMAS pada peringkat awal satu daerah satu papan pintar. Insya-Allah kita akan pastikan pada hujung tahun hadapan semua kelas KEMAS akan mempunyai kemudahan itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Timbalan Perdana Menteri bersama warga KEMAS, di Mantin hari ini.
Beliau berkata penggunaan papan pintar telah dimulakan secara berperingkat sebelum ini sebagai sebahagian usaha memperkenalkan pedagogi baharu dalam pengajaran di kelas-kelas KEMAS.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata KEMAS turut memperkukuh pendidikan al-Quran dan pembangunan sahsiah kanak-kanak menerusi program pembelajaran yang diperkenalkan sejak tiga tahun lepas.
Beliau berkata program berkenaan memberi pendedahan kepada kanak-kanak seawal usia dua tahun untuk mempelajari dan menghafaz ayat-ayat al-Quran.
Katanya usaha itu mendapat sambutan baik daripada ibu bapa, khususnya mereka yang berdepan kekangan dari segi masa atau pengetahuan untuk mengajar anak-anak mengenai al-Quran.
“Ramai ibu bapa merasakan mereka tidak mempunyai kesempatan untuk mengajak anak-anak mereka belajar al-Quran.
“Bagi memastikan keberkesanan pendekatan pembelajaran itu, KEMAS turut bekerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Yayasan Pahang dan Yayasan Pintar dalam membangunkan kaedah pedagogi yang sesuai,” katanya.
– Bernama





