
DAMSYIK: Syrian Air menyambung semula penerbangan haji buat kali pertama hari ini selepas terhenti selama beberapa tahun, dengan mengendalikan penerbangan membawa jemaah haji Syria dari Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik ke Madinah di Arab Saudi, menurut Agensi Berita Arab Syria (SANA).
Penerbangan itu menandakan kembalinya syarikat penerbangan nasional berkenaan dalam membawa jemaah haji Syria ke tanah suci.
Penerbangan itu membawa 133 jemaah yang menuju ke Madinah sebelum meneruskan perjalanan ke Makkah bagi menunaikan ibadah haji.
Ketua Pegawai Eksekutif Syrian Aviation Holding Company Anwar Aqqad berkata penerbangan itu adalah yang pertama dikendalikan Syrian Air bagi musim haji kali ini.
Bercakap kepada SANA, Aqqad berkata pasukan teknikal dan operasi telah menyelesaikan persiapan bagi musim haji termasuk kesediaan pesawat dan prosedur operasi yang memberi tumpuan kepada piawaian keselamatan.
Beliau berkata Syrian Air merancang untuk mengendalikan penerbangan haji tambahan dari lapangan terbang Damsyik dan Aleppo berdasarkan jumlah jemaah yang berdaftar.
Aqqad menambah syarikat itu sedang berkoordinasi dengan pihak berkuasa haji dan umrah Syria serta pegawai Arab Saudi dan berusaha meningkatkan jumlah jemaah yang dibawa syarikat penerbangan nasional itu dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Pelancaran penerbangan Syrian Air itu menyusuli pelepasan kumpulan pertama jemaah haji Syria bagi musim ini pada Sabtu, yang dikendalikan syarikat penerbangan swasta dari Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik ke Jeddah dengan membawa 340 jemaah.
-Bernama