KUCHING: Kementerian Pengangkutan Sarawak memohon syarikat penerbangan untuk mengatur masa penerbangan selang satu jam bagi ketibaan penerbangan ke negeri ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin berkata, hal ini adalah bagi memberi masa yang mencukupi untuk penumpang menjalani pemeriksaan dokumentasi yang diperlukan oleh pihak berkuasa dan proses pemeriksaan kesihatan yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Pemeriksaan ini adalah penting bagi membantu kita dalam membendung penyebaran Covid-19 di Sarawak,” ujarnya dalam satu kenyataan media semalam.
Terdahulu, beliau berkata kementerian telah menerima maklum balas daripada orang ramai mengenai kesesakan yang berlaku di terminal lapangan terbang di Sarawak semasa ketibaan.
“Kami menyedari sepenuhnya kesesakan yang berlaku di terminal lapangan terbang di Sarawak kerana pertindihan ketibaan penerbangan ke negeri ini.
“Ia menjadi keutamaan kami untuk memberikan perkhidmatan tanpa gangguan kepada penumpang yang pulang atau datang ke Sarawak,” ujarnya.
Katanya, kementerian telah menulis surat kepada syarikat penerbangan termasuk AirAsia meminta mereka memberi selang satu jam antara ketibaan penerbangan mereka.
“AirAsia telah memberikan respons kepada permintaan kita untuk mempunyai waktu ketibaan selang satu jam antara penerbangan dan mereka membuat pengaturan yang diperlukan dengan pihak berkuasa yang berkenaan iaitu National Slot Coordination Malaysia (NSCM), Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Lembaga Penerbangan Awam.
“Selain itu, kita juga telah menulis surat kepada MAVCOM dan Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM) untuk meminta kerjasama mereka untuk membantu syarikat penerbangan dalam memastikan bahawa terdapat selang waktu yang cukup antara penerbangan datang ke Sarawak.
“Ini juga akan memberi masa yang cukup untuk proses pemeriksaan kesihatan, dokumentasi dan pelepasan khas di terminal lapangan terbang,” jelasnya.
Beliau berkata dengan sokongan semua pihak berkepentingan, iaitu syarikat penerbangan, NSCM, MAVCOM, CAAM, KKM, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB),Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan agensi lain yang berkaitan, kementerian akan dapat menyelesaikan kesesakan dan yang lebih penting untuk membendung penyebaran Covid-19 di Sarawak.
Oleh Alexandra Lorna