Syarikat dedenda RM126,000 seleweng diesel bersubsidi di Sibu

Facebook
WhatsApp
KUALA LUMPUR, 26 Mac -- Kerajaan akan melaksanakan penyelarasan sementara kelayakan Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026 susulan konflik di Asia Barat. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun menegaskan harga RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter. Beliau juga berkata Sabah dan Sarawak akan terus menikmati diesel subsidi pada kadar RM2.15 seliter walaupun harga diesel telah meningkat. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

SIBU: Sebuah syarikat pemborong diesel didenda RM126,000 di Mahkamah Sesyen di sini atas sembilan pertuduhan berkaitan penyelewengan diesel bersubsidi di sebuah stor penyimpanan di Jeti Tanjung Engkilo di sini, dua tahun lepas.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan Hakim Musyiri Peet menjatuhkan hukuman itu semalam, selepas wakil syarikat berkenaan mengaku bersalah atas semua pertuduhan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Syarikat tersebut didakwa melakukan kesalahan itu pada 25 Ogos 2024 di sebuah premis di Jeti Tanjung Engkilo, Sibu kerana melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,“ menurut kenyataan itu. 

KPDN memaklumkan syarikat itu membayar denda tersebut. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya KPDN Sarawak Iezzah Iburdanisha Ibrahim.

KPDN menyeru masyarakat untuk menyalurkan maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi melalui saluran aduan rasmi kementerian itu. – Bernama