
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan guru vokal popular Datuk Syafinaz Selamat akan mencabar tahap vokalnya di dalam konsert ‘Classical Treasures’ di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), pada 5 April ini.
Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) dalam kenyataan berkata gabungannya bersama Syafinaz itu bakal mempersembahkan dua karya petikan daripada opera Romeo And Juliet ciptaan Gounod serta Der Hölle Rache karya Mozart yang dipetik daripada opera The Magic Flute.
“Versi opera Romeo And Juliet telah mencatat populariti yang luar biasa. ‘Ah! Je veux vivre’ yang juga dikenali sebagai ‘Juliet’s waltz’ adalah petikan yang menuntut lontaran vokal yang hebat dan dialunkan pada awal persembahan opera.
“Opera The Magic Flute ciptaan Mozart pula mendapat sambutan hangat ketika dipentaskan buat pertama kali di Vienna, Austria pada 1791 dan kekal unggul hingga ke hari ini. Der Hölle Rache adalah satu petikan menakjubkan daripada opera ini yang cukup mencabar tahap vokal penyanyinya,” kata MPO.
Konsert yang bakal mementaskan enam karya klasikal agung itu termasuk Overture of The Barber of Seville ciptaan Rossini dan Nocturne in E flat karya Chopin akan dipimpin oleh Konduktor Residen Gerard Salonga.
MPO akan mengakhiri konsert tersebut dengan karya-karya hebat, iaitu Hungarian Rhapsody No.2 ciptaan Liszt dan Symphony No.7 ciptaan Beethoven. – Bernama