
MONTERREY, Mexico: Sweden membelasah Tunisia 5-1 sebentar tadi, sekali gus meranapkan reputasi benteng pertahanan pasukan Afrika Utara itu, selain menguasai Kumpulan F Piala Dunia.
Pasukan kendalian Graham Potter membuka jaringan di Guadalupe pada minit ketujuh menerusi rembatan deras pemain tengah Brighton, Yasin Ayari dari luar kotak penalti selepas kekeliruan di benteng pertahanan lawan.
Namun, sambutan gol Ayari yang berketurunan Maghribi dan Tunisia itu agak hambar walaupun penyudahnya kemas.

Sweden menggandakan kedudukan pada minit ke-30 hasil serangan pantas yang membuka ruang buat Alexander Isak di sebelah kiri.
Penyerang Liverpool itu kemudian mara sebelum memotong ke dalam dan melepaskan rembatan yang gagal diselamatkan penjaga gol Mouhib Chamakh, meskipun sempat menyentuh bola.
Tunisia tidak bolos sebarang gol dalam kempen kelayakan, sekali gus menjadi pasukan pertama mencatatkan pencapaian itu sebelum kemudian disamai Ivory Coast dan England.
Sweden terus menguasai permainan, namun perlawanan berubah seketika beberapa minit sebelum rehat apabila Omar Rekik menanduk masuk hantaran lintang Hannibal Mejbri.

Bagaimanapun, pasukan Scandinavia itu kembali selesa dengan kelebihan dua gol pada minit ke-59 selepas satu lagi kesilapan pertahanan Tunisia.
Pemain tengah Ellyes Skhiri kehilangan bola di luar kotak penalti kepada Isak yang kemudiannya mengumpan kepada Viktor Gyökeres sebelum penyerang Arsenal itu merembat masuk.
Pemain gantian Mattias Svanberg menjadikan kedudukan 4-1 pada lewat permainan selepas VAR mengesahkan beliau tidak berada dalam kedudukan ofsaid.
Sweden kemudian menambah satu lagi gol menarik menerusi Ayari dari luar kotak penalti.

Sweden pernah mara ke suku akhir Piala Dunia 2018 di Rusia, namun gagal melayakkan diri ke kejohanan di Qatar empat tahun kemudian.
Tunisia merupakan pasukan Afrika pertama memenangi perlawanan Piala Dunia selepas menewaskan Mexico pada 1978, namun mereka masih belum pernah mara melepasi peringkat kumpulan.
Dalam satu lagi aksi awal Kumpulan F, Jepun bangkit lewat untuk seri 2-2 menentang Belanda. – AFP