
KUCHING: Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin menekankan keperluan strategi pengurusan trafik bandar yang berkesan bagi menangani peningkatan pemilikan kenderaan dan kesesakan lalu lintas di negeri ini.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Trafik Bandar Sarawak (SUTMaC) Bil. 1/2025 yang diadakan di sini, hari ini.
Menurutnya, usaha bersepadu antara pihak berkepentingan adalah amat penting bagi mengurangkan masalah trafik serta meningkatkan infrastruktur jalan raya.
“Jumlah kenderaan persendirian, khususnya kereta dan motosikal, semakin meningkat dan menjadi penyumbang utama kepada kesesakan lalu lintas yang serius,” katanya.
Beliau turut menegaskan peranan penting SUTMaC dalam merangka dasar yang mampu menguruskan trafik bandar secara cekap, selain menggalakkan penggunaan mod pengangkutan alternatif serta penambahbaikan infrastruktur.
Dalam mesyuarat itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut membentangkan data kemalangan jalan raya, memberikan gambaran jelas mengenai kawasan berisiko tinggi.
“Berdasarkan statistik dan data yang dibentangkan, kita dapat mengenal pasti kawasan yang perlu diberikan perhatian serta mendengar cadangan langkah keselamatan jalan raya daripada pelbagai pihak,” tambahnya.
Seiring dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi tempoh 2026 hingga 2030, sektor pengangkutan akan memainkan peranan penting dalam kesejahteraan ekonomi, sosial dan alam sekitar negeri. Justeru, sistem pengangkutan yang dirancang dengan baik serta pengurusan trafik yang cekap mampu menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi selaras dengan Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Lee turut menekankan bahawa kesesakan trafik memberi kesan besar terhadap ekonomi dan alam sekitar, termasuk kehilangan produktiviti, peningkatan penggunaan bahan api serta kos pengangkutan yang lebih tinggi.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua agensi dan pihak berkepentingan dalam sektor pengangkutan untuk mengemukakan cadangan serta projek berkaitan bagi dimasukkan ke dalam RMK-13.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa 12 Jawatankuasa Pengurusan Trafik Bandar Peringkat Daerah (DUTMaC) supaya membentangkan cadangan serta mengenal pasti isu pengurusan trafik di kawasan masing-masing.
Beliau menekankan, pengurusan trafik bandar yang berkesan merangkumi pelbagai aspek seperti kawalan sistem lampu isyarat, penambahbaikan infrastruktur jalan dan papan tanda, galakan mobiliti basikal serta pejalan kaki, selain pelaksanaan langkah pengurusan kelajuan dan penguatkuasaan peraturan jalan raya.
Memandang ke hadapan, beliau turut memberitahu bahawa cadangan projek di bawah RMK-13 perlu berteraskan kelestarian, pengurangan pelepasan karbon serta memperkukuh hubungan rangkaian pengangkutan.
“Kementerian komited untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan sistem pengangkutan yang terancang dan cekap, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kualiti hidup rakyat Sarawak,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan I (Penerbangan dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil serta Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan (MOTS) Selamat Jati Yanjah.
Oleh Amanda L.