
SERIAN: Edisi ketiga Silabur Ultra Trail (SUTRA) 2025 yang telah berlangsung selama dua hari ini bermula 12 hingga 13 April telah mencatat kejayaan membanggakan dengan penyertaan seramai 593 peserta dari 18 negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Perancis, United Kingdom (UK), Australia, Brunei Darussalam, Filipina, China, Afrika Selatan, Singapura, Indonesia dan banyak lagi.
Berbanding edisi sebelumnya pada 2024, penyertaan kali ini menunjukkan peningkatan ketara sekali gus mengukuhkan lagi reputasi SUTRA sebagai acara larian ultra bertaraf antarabangsa di Sarawak.
Acara anjuran Alpha Sports Event dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) ini menawarkan lima kategori laluan, iaitu 9 kilometer (km), 10 km, 15 km, 30 km, 50 km dan 100 km, terbuka kepada lelaki dan wanita.
Pemenang bagi setiap kategori menerima hadiah wang tunai, dengan hadiah tertinggi sebanyak RM1,000 bagi juara kategori 100 km.


Majlis penangguhan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Martin Ben di Kampung Lobang Batu Bedang.
Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan acara yang melibatkan penyertaan antarabangsa.
“Saya berharap program seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang dan menjadi satu platform penting sebagai daya tarikan pelancongan ke Sarawak.
“Ia juga memberi peluang kepada pelancong untuk menyelami keunikan produk tempatan seperti ‘Silabur Jade Cave’ yang terletak di Kampung Lobang Batu Mawang,” katanya.
Selain mempromosikan gaya hidup sihat dan keindahan alam semula jadi, Datuk Martin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup menjelaskan SUTRA 2025 juga telah memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat termasuk pengusaha inap desa di Kampung Lobang Batu Bedang, Lobang Batu Mawang dan Batu Lin, serta hotel-hotel di Bandar Serian.
Dengan sambutan yang begitu memberangsangkan, SUTRA kini semakin dikenali sebagai antara acara larian trail paling menarik di rantau ini dan berpotensi menjadi aset pelancongan tahunan negeri Sarawak.
Hadir sama ADUN Tebedu Dr Simon Sinang Bada, Pengarah Veterinar Negeri Sarawak Dr Adrian Susin Ambud, Pegawai Daerah Tebedu Gerard George Entigar, Pemangku Pegawai Daerah Serian Natasha Tiong Nulie, wakil Residen Bahagian Serian Nashrin, Temenggong Henry Bujang Senden dan Pengurus Alpha Sports Event George Tan. – UKAS