
HAMILTON: Suspek kejadian tembakan Majlis Makan Malam Koresponden Rumah Putih hari ini mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan persekutuan berkaitan insiden itu, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media Amerika Syarikat (AS).
Cole Tomas Allen hadir di mahkamah persekutuan di Washington DC, apabila peguamnya mengemukakan pengakuan itu bagi pertuduhan termasuk cubaan membunuh Presiden AS Donald Trump, menyerang pegawai persekutuan, dan kesalahan berkaitan senjata api.
Allen telah ditangkap susulan insiden tembakan pada April di sebuah hotel semasa Majlis Makan Malam tahunan Koresponden Rumah Putih yang dihadiri oleh wartawan, pegawai kerajaan, dan tokoh politik.
Menurut laporan, pasukan undang-undang Allen sedang berusaha untuk membatalkan kelayakan beberapa pegawai kanan Jabatan Keadilan daripada menyelia pendakwaan, termasuk Peguam AS Jeanine Pirro dan Peguam Negara Todd Blanche.
Peguam bela berhujah bahawa pegawai tersebut mungkin menjadi saksi atau mangsa berpotensi kerana mereka menghadiri majlis tersebut dan kemudiannya membincangkan mengenai tembakan itu secara terbuka.
Jabatan Keadilan mempunyai masa sehingga 22 Jun untuk memberi maklum balas terhadap usul yang difailkan oleh peguam Allen, dan pendengaran seterusnya dalam kes itu dijadualkan pada 29 Jun. – Bernama