Suspek kes Charlie Kirk didakwa atas kesalahan membunuh

Facebook
WhatsApp
TYLER Robinson, 22, suspek dalam kes menembak maut Charlie Kirk, hadir di hadapan Hakim Tony Graf dari Mahkamah Daerah Ke-4 melalui panggilan sidang video semasa perbicaraan pada 16 September 2025 lepas di Mahkamah Daerah Kehakiman Keempat di Provo, Utah. Tyler Robinson dituduh menembak mati Charlie Kirk, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama Turning Point USA, semasa dia bercakap pada acara untuk “Jelajah Kembali Amerika” di kampus Universiti Utah Valley. Foto AFP

LOS ANGELES: Tyler Robinson, suspek yang dituduh membunuh aktivis politik Amerika Syarikat (AS) Charlie Kirk telah didakwa secara rasmi atas kesalahan membunuh, menurut pihak berkuasa Utah pada Selasa, lapor Xinhua.

Selain itu, Robinson turut berdepan beberapa pertuduhan lain termasuk menghalang siasatan, melepaskan tembakan menggunakan senjata api hingga menyebabkan kecederaan serius, mengganggu saksi serta melakukan jenayah keganasan di hadapan kanak-kanak, kata Peguam Daerah Utah Jeff Gray pada sidang akhbar.

Gray berkata pihak pendakwa akan menuntut hukuman mati terhadap suspek, sambil menjelaskan bahawa peluru yang mengenai Kirk hampir mengenai beberapa individu lain.

Kirk, 31, ditembak di bahagian leher ketika berucap di hadapan orang ramai pada acara debat terbuka “Prove Me Wrong” di Universiti Utah Valley sekitar tengah hari Rabu lalu.

Kira-kira 33 jam selepas insiden itu, suspek berusia 22 tahun itu ditahan di Washington County, Utah.—Bernama-Xinhua