Suspek dipercayai cuba bunuh Trump pada majlis makan malam media

Facebook
WhatsApp
GAMBAR yang disiarkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, melalui akaun Truth Social miliknya (@realDonaldTrump) menunjukkan seorang individu yang didakwanya sebagai suspek dalam insiden tembakan pada Majlis Makan Malam Wartawan White House, terbaring di atas lantai selepas ditahan pada 25 April 2026. Foto AFP

WASHINGTON, Amerika Syarikat: Seorang lelaki dari California yang didakwa menyerbu majlis makan malam gala yang dihadiri Presiden Donald Trump dijadualkan hadir di mahkamah semalam berhubung insiden tembakan yang merupakan episod terbaharu keganasan politik di Amerika Syarikat yang semakin berpecah.

Pegawai pentadbiran berkata suspek dalam serangan mengejut pada malam Sabtu itu dipercayai cuba membunuh Trump dan beberapa pegawai kanan dalam majlis makan malam media di sebuah hotel di Washington, dalam apa yang menjadi cubaan ketiga terhadap nyawa presiden itu dalam tempoh dua tahun.

Trump, yang dikejarkan keluar dari dewan ballroom di Washington oleh ejen Perkhidmatan Rahsia, memuat naik rakaman kamera litar tertutup yang menunjukkan lelaki bersenjata itu cuba berlari melepasi satu pusat pemeriksaan satu tingkat di atas ruang majlis makan malam tersebut.

EJEN mengeluarkan senjata api mereka selepas bunyi dentuman kuat kedengaran semasa Majlis Makan Malam Wartawan White House di Washington Hilton, Washington, DC, pada 25 April 2026. Foto AFP

Selepas berlaku pertukaran tembakan singkat dengan ejen keselamatan, suspek berjaya ditahan di tempat kejadian.

Trump turut berkongsi gambar suspek yang bergari di lantai hotel berkarpet, dalam keadaan tidak berbaju dan meniarap.

Dalam wawancara yang disiarkan pada malam Ahad menerusi program CBS ‘60 Minutes’, Trump ditanya sama ada beliau bimbang akan berlaku korban ketika suasana huru-hara tercetus, apabila pegawai kerajaan dan golongan elit media di Washington bertempiaran menyelamatkan diri dalam majlis makan malam mewah tersebut.

TANGKAP layar diambil daripada video yang dirakam oleh wartawan AFP menunjukkan ejen bersenjata bergerak ke arah pentas selepas bunyi dentuman kuat kedengaran semasa Majlis Makan Malam Wartawan White House di Washington Hilton, Washington, DC, pada 25 April 2026. Foto AFP

“Saya tidak bimbang. Saya faham kehidupan. Kita hidup dalam dunia yang gila,” kata Trump.

“Dia tidak bekerjasama secara aktif. Saya menjangkakan dia akan didakwa secara rasmi esok pagi di mahkamah persekutuan di Washington,” kata Pemangku Peguam Negara Amerika Syarikat, Todd Blanche kepada program ‘Face The Nation’ CBS pada hari yang sama.

“Berdasarkan maklumat awal, kami percaya dia menyasarkan anggota pentadbiran.”

Blanche menambah bahawa motif serangan masih belum diketahui, dan mengesahkan suspek yang menurut pegawai bersenjatakan senapang patah, pistol dan pisau  menginap di Hotel Washington Hilton, lokasi penganjuran Majlis Makan Malam Wartawan White House. – AFP

BMW bakal kurangkan 8,000 pekerja

BRUSSELS: Pengeluar kenderaan Jerman, BMW, akan mengurangkan kira-kira 8,000 pekerja dan kebanyakannya di Jerman, sebagai sebahagian daripada program pengurangan kos