KUCHING: Ia adalah mustahak dan penting untuk terus mendidik dan memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai logo Gabungan Parti Sarawak (GPS) ini, kata Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Kuching, Datuk Lily Yong.
Beliau berkata, ini kerana di bandar sebenarnya terdapat banyak program yang dilancarkan oleh GPS sejak tahun lalu atau lebih awal lagi di luar bandar dan kawasan lain tetapi tidak dilaksanakan di bandar.
Yong berkata, hari ini (semalam) adalah stesen kelima penyerahan logo GPS yang mana pada 5 September lalu, SUPP Cawangan Kuching turut melakukan perkara sama di Padungan, Sekama, Lebuh Carpenter dan kawasan lain.
Tambah Yong, SUPP melakukan program itu di kedai kopi kerana ia menjadi tumpuan warga emas yang menikmati hidangan atau minuman sekali gus dapat menyerahkan kad mereka.
“Sekiranya meminta warga emas pergi ke pejabat SUPP Cawangan Kuching, mereka perlu naik ke tingkat dua dan agak sukar bagi mereka untuk menaiki tangga.
Beliau memberitahu, terdapat 13 stesen pengundian di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Padungan dan SUPP akan melalukan program tersebut di semua kawasan tersebut.
“Ia bukan hanya melancarkan atau menyerahkan bendera tetapi melibatkan aktviti penyerahan ‘Kenyalang Gold Cad’ selain melakukan permohonan baharu di sini.
“Setiap kawasan, kita mempunyai ketua yang akan menyerahkan bendera GPS dan memberikan semua pelekat GPS itu kepada semua stesen yang kita berikan kepada ketua kawasan,” katanya pada sidang media di Majlis Penyerahan Bendera GPS oleh SUPP di salah sebuah kedai makan di Padungan.
Dalam pada itu, Yong berkata, SUPP Cawangan Kuching sejak tahun lalu mengusulkan dua calon yang berpotensi iaitu Bong Lian Huan dan Jong Yean Pin tetapi hanya seorang yang akan kekal sebagai calon.
“Saya rasa kedua-dua mereka memahami antara satu sama lain. Mereka mesti mempunyai pemahaman tetapi saya sangat gembira mereka dapat bekerjasama, berkoordinasi dengan baik dan mempunyai persefahaman.
Ditanya adakah GPS boleh menang kerusi DUN Padungan, beliau berkata, mereka harus bergantung kepada kerusi, pemimpin dan politik yang penuh dedikasi untuk keluar dan melakukan sesuatu.
Hadir sama, calon yang berpotensi untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Padungan pada pilihan raya negeri akan datang iaitu Bong Lian Huan dan Jong Yean Pin.
Oleh Cheryl Law