
KUCHING: Dalam usaha memberikan khidmat yang lebih efektif kepada masyarakat serta mendekatkan perkhidmatan awam kepada rakyat, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Kuching akan menganjurkan Kaunter Khidmat Masyarakat petang esok, dari 6.00 petang hingga 9.00 malam di Life Café, Jalan Padungan.
Ketua Pemuda SUPP Cawangan Kuching, Nicholas Wung, berkata sesi khas ini memberi tumpuan utama kepada membantu pelajar Sarawak yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi memohon Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM1,200.
Selain itu, pelbagai perkhidmatan komuniti turut ditawarkan dalam satu platform sehenti, termasuk perundingan undang-undang, bagi memudahkan penduduk setempat mendapatkan bantuan yang diperlukan.
Wung menjelaskan bahawa permohonan bagi elaun RM1,200 telah dibuka secara rasmi mulai 1 Mei 2025 dan akan ditutup pada 1 Jun 2025.
Pemohon yang berjaya, katanya, akan menerima RM600 pada pusingan pertama, manakala pusingan permohonan seterusnya dijangka dibuka pada September.
“Untuk membantu melancarkan proses permohonan, kami akan menyediakan kaunter khas di lokasi acara, lengkap dengan petugas yang akan membimbing pemohon secara langkah demi langkah,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pemohon supaya menyediakan salinan digital dokumen penting seperti kad pengenalan (IC), IC ibu bapa, surat tawaran universiti dan ID Sarawak.
Bagi ibu bapa yang bekerja dalam sektor kerajaan atau menerima gaji tetap, jelasnya, slip gaji terkini diperlukan sebagai bukti pendapatan.
Sementara itu, bagi yang bekerja sendiri, menjalankan perniagaan atau menganggur, tambahnya lagi, surat pengesahan pendapatan akan disediakan di lokasi dan disahkan oleh Kapitan yang turut hadir.
Sukarelawan SUPP akan membantu pemohon menyediakan dokumen berkenaan secara terus di tapak acara.
Selain bantuan permohonan elaun, kaunter yang dibuka petang esok tersebut turut menawarkan pelbagai perkhidmatan tambahan termasuk pendaftaran Kad Emas Kenyalang, pengesahan dokumen, bantuan permohonan kebajikan sosial, pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU), serta khidmat nasihat guaman secara percuma.
Sebagai seorang peguam, Nicholas Wung sendiri akan turut hadir untuk memberi khidmat nasihat guaman kepada penduduk yang memerlukan.
“Ramai pelajar dan penduduk sukar mendapatkan bantuan sewaktu waktu pejabat kerana kekangan masa.
“Oleh itu, sesi petang ini dirancang khusus untuk memberikan kemudahan kepada mereka, tanpa kerumitan,” ujarnya.
SUPP Cawangan Kuching, sehubungan itu, menjemput semua penduduk serta pelajar yang berminat untuk hadir dan memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan yang disediakan dalam program ini.
Oleh Connie Chieng