KUALA LUMPUR: Supermax Corporation Bhd (Supermax) telah mendapat pengesahan daripada MSCI Inc., penyedia utama indeks dan analisis berasaskan penyelidikan, bahawa ia akan dimasukkan dalam Indeks MSCI Global Standard pada 31 Ogos 2020.
Dalam kenyataan semalam, Supermax berkata, ia antara 18 syarikat di seluruh dunia, dan satu daripada dua syarikat di Malaysia akan dimasukkan dalam Indeks MSCI Global Standard di bawah Indeks MSCI Malaysia.
Katanya, tiga tambahan terbesar dalam Indeks MSCI Global Standard di bawah Indeks MSCI World termasuklah P G & E Corp (AS), Peloton Interactive A (AS) dan Zscaler (AS), manakala tiga tambahan terbesar dalam Indeks MSCI Emerging Markets adalah Postal Savings A (Hk-C) (China), Beijing Shanghai A (HkC) (China) dan Yandex A (Rusia).
Supermax menggunakan model Pembuatan Jenama Sendiri (OBM) di mana syarikat mengeluarkan produk, membungkus dan memasarkan di bawah jenama dalamannya.
“Kami kini mengeksport 55 peratus daripada pengeluaran di bawah jenama kami sendiri melalui pusat pengedaran kami sendiri dan 40 peratus melalui pengedar bebas. Baki lima peratus adalah untuk pengeluaran OEM (pengeluar peralatan tulen),” katanya.
Syarikat itu berkata produknya dijual ke lebih 165 negara, penyumbang terbesar ialah rantau Amerika yang menyumbang 51 peratus daripada pendapatan pada akhir tahun fiskal (FYE) 2020.
Rantau Asia/Oceania dan Eropah, masing-masing menyumbang 23 peratus kepada pendapatan FYE2020. Dari segi segmentasi produk, 72 peratus adalah daripada sarung tangan bebas serbuk nitril, diikuti 18 peratus daripada bebas serbuk lateks, tujuh peratus (lateks serbuk) dan tiga peratus (sarung tangan pembedahan).
Dari segi peningkatan kapasiti, Supermax berkata ia telah menyediakan pelan pengembangan untuk membina lima kilang pembuatan sarung tangan antara sekarang dan hingga 2022 dengan tambahan kapasiti pengeluaran sebanyak 22.25 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 48.42 bilion sarung tangan pada akhir 2022.
“Kumpulan Supermax akan melabur jumlah perbelanjaan modal sebanyak RM1.3 bilion untuk kilang baharu,” katanya.
MSCI Global Standard, dalam kenyataan pada Rabu, berkata selain Supermax Corp, saham Kossan Rubber Industries Bhd akan dimasukkan sebagai komponen untuk Indeks MSCI Global Standard pada 31 Ogos 2020.
Bagaimanapun, katanya, IJM Corp Bhd akan digugurkan daripada senarai.
Pada rehat tengah hari semalam, Supermax menambah enam sen kepada RM19.48, Kossan tidak berubah pada RM15.10, manakala IJM susut 13 sen kepada RM1.40.- Bernama