PENDUDUK sekitar Bekenu dinasihatkan agar merebut peluang untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 yang diberi secara percuma oleh Kerajaan Sarawak
Menteri Muda Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus berkata, kerajaan setakat ini masih belum berhasrat untuk menyerahkan suntikan vaksin Covid-19 kepada pihak swasta.
Beliau, yang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, berkata demikian semasa menghadiri Program Skuad Kasih Sayang (SKS) DUN Bekenu di Kampung Lubuk Buinih Tiris semalam.
Katanya, kerajaan akan memberi suntikan vaksin Covid-19 secara berterusan sehingga Ogos 2021 ini, dan menyeru penduduk yang belum mendaftar agar menyegerakan penerimaan vaksin itu.
“Jangan takut, ini semua untuk kegunaan dalam kehidupan kita terutama sebagai surat sah perjalanan kelak.
“Saya difahamkan oleh ketua kampung KK Ilis Rashis bahawa ada lebih 100 penduduk belum lagi mendaftar sebagai penerima suntikan vaksin Covid-19,” jelasnya.
Sehubungan itu, penduduk terbabit dinasihat supaya daftar nama kepada KK atau mendaftar melalui MySejahtera lebih mudah, tambahnya lagi.
Pada program lawatan bersama SKS DUN Bekenu di tujuh kampung zon Tiris bahawa seramai 84 warga emas menerima bantuan keperluan harian.
Selain itu, setiap pintu rumah di tujuh kampung turut menerima sumbangan berupa buah tangan daripada Datuk Rosey, Kampung Lubuk Buinih sebanyak 18 pintu, Tunah (15), Pintasan (66), Sebalik (35), Majlis (95), Kepayang (45) dan Rh Albion (84).
Hadir bersama ialah Sarkawi Suhaili Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak, Ketua Wanita PPB Bekenu Kaunselor Katijah Sheikh Kassim dan ketua-ketua kampung setempat.