PUSA: Dianggarkan terdapat sejumlah 330 ekor buaya yang menghuni di sepanjang Sungai Undai dekat Kampung Tambak.
Mengikut satu kaji selidik yang dijalankan oleh Jabatan Hutan Sarawak pada tahun 2017, menunjukkan bahawa sungai tersebut mempunyai kepadatan 300 ekor buaya bersaiz kecil dan 30 ekor buaya bersaiz besar hingga ke muara Sungai Rimbas.
Kaji selidik tersebut dilakukan berikutan kematian seorang penduduk, Besimillah Rajali, 46, akibat serangan buaya pada tiga tahun lalu serta satu operasi penakaian dan pemindahan buaya dilaksanakan oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC) di Sungai Undai.
Dalam operasi yang dilakukan selama lapan hari itu oleh SFC, seekor buaya betina berukuran 2.27 meter telah berjaya ditakai selepas tujuh cangkuk serta umpan yang dipasang dalam lingkungan tiga kilometer di sepanjang Sungai Undai.
Buaya betina tersebut berjaya ditangkap kira-kira 100 meter dari lokasi serangan.
Namun, baru-baru ini kejadian serangan buaya sekali lagi berlaku apabila seorang lagi penduduk menjadi pemangsa kepada buaya ganas di Sungai Undai.
Kehilangan Sarkawi Talip, 61, yang diserang sang bedal pada petang 2 Julai lalu masih lagi misteri berikutan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang telah dilancarkan sejak lapan hari lalu terus menemui kegagalan.
Sehubungan itu, rata-rata penduduk di kawasan itu mengakui bahawa memang terdapat banyak buaya ganas telah menghuni sungai berkenaan.
Semalam, penduduk yang membanjiri di kawasan Jambatan Sungai Undai gempar sebaik sahaja melihat kelibat seekor buaya besar sepanjang kira-kira 14 kaki berada di sungai itu.
Difahamkan, Pasukan Tindakan Khas Hidupan Liar (SWAT) SFC akan melancarkan operasi penakaian dan pemindahan buaya di Sungai Undai dalam masa terdekat.
Oleh Adi Safarman