KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sedang berusaha melindungi kebajikan wartawan sambilan (stringer) dalam industri media kerana mereka memerlukan perlindungan semasa menjalankan tugas.
Semalam, Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan pihak berkaitan berhubung sumbangan untuk wartawan khususnya wartawan sambilan.
Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) Datuk Ahirudin Attan berkata perbincangan itu akan memastikan bahawa wartawan sambilandilindungi jika berlaku sebarang kemalangan atau kecederaan semasa bertugas.
“Ketika ini, kebanyakan wartawan sambilan tidak dilindungi melainkan mereka adalah bekas wartawan dari organisasi media. Wartawan sambilan adalah sebahagian daripada industri media, kerana kebanyakan organisasi tidak mempunyai wartawan di lokasi kejadian pada sepanjang masa,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.
Sehubungan itu, beliau menyarankan KKD meneruskan usaha agar wartawan sambilan ini dapat menyumbang kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mewujudkan prosedur yang lebih sistematik.
Beliau turut mencadangkan agar KKD mengadakan perbincangan dengan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM), wakil organisasi media, Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) dan Kementerian Sumber Manusia untuk menyeragamkan skop kerja dan kadar pengambilan pekerjaan bagi wartawan sambilan.
“Perbincangan lebih mendalam juga perlu untuk menentukan kadar bayaran standard kepada stringer sama ada dibayar berdasarkan jam atau setiap artikel,” tambahnya.
Wakil Astro AWANI Perak Amirrul Rabbani Rashid berkata jika bayaran caruman seperti yang diumumkan KKD dapat direalisasikan, stringer boleh menikmati faedah misalnya daripada segi tanggungan kos rawatan kesihatan, sebagaimana yang dinikmati pencarum Perkeso lain.
“Usaha itu dilihat dapat meringankan beban stringer terutama dalam menghadapi situasi luar jangka seperti berdepan dengan kemalangan atau kecederaan semasa bertugas,” katanya.
Selain itu, beliau mencadangkan supaya KKD mengadakan usaha sama antara agensi seperti Kementerian Kewangan atau Bank Negara dalam memberi bantuan pinjaman pembiayaan bank misalnya bagi urusan memiliki rumah atau kenderaan.
“Ini kerana ada sesetengah stringer menghadapi masalah dari segi urusan berkenaan. Walhal, ada dalam kalangan mereka yang mempunyai pendapatan bulanan layak untuk memohon pinjaman bank,” katanya.
Sementara itu, Presiden NUJM Farah Marshita Abdul Patah berkata melalui bayaran caruman Perkeso, pemberita sambilan juga akan mendapat pampasan sekiranya terlibat dalam sebarang kemalangan semasa menjalankan tugas.
Beliau turut mencadangkan selain sumbangan Perkeso, KKD juga perlu melihat kepada keperluan wartawan sambilan dalam mendapatkan perlindungan insurans perubatan atau kad perubatan, sekiranya mereka mengalamai kecederaan atau dimasukkan ke hospital akibat kemalangan.
“Selain perlindungan insurans, KKD harus melihat kadar bayaran bagi stringer terutamanya terhadap bayaran lebih masa kerana kebanyakan mereka bekerja lebih lapan jam,” tambahnya. – Bernama