
KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meninggal dunia, awal pagi tadi.
Melalui hantaran di Facebook rasmi Kesultanan Pahang hari ini, baginda berdua menyampaikan harapan agar seluruh ahli keluarga Allahyarham dikurniakan ketabahan dalam menghadapi ketentuan dan takdir Allah SWT.
Baginda turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba Allah yang dikasihi.
Bung Moktar, 66, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu pada 1.46 pagi tadi, dan pemergiannya disahkan oleh anaknya Naim Kurniawan Moktar.
Jenazah Allahyarham dibawa ke rumahnya di Luyang sebelum solat jenazah diadakan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, dan seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Likas selepas solat Jumaat.
Bung Moktar, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, baru sahaja mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 pada 29 November lepas.- Bernama