Jenazah Bung Moktar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas

Facebook
WhatsApp

KINABALU:  Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini awal pagi tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas pada 2.25 petang.

Hujan gerimis turun sejurus selesai pengebumian tokoh politik yang banyak berjasa kepada rakyat Sabah itu.

Terdahulu, van membawa jenazah Allahyarham tiba di tanah perkuburan itu pada 1.45 tengah hari, disambut orang ramai daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama dalam suasana hiba, menggambarkan kasih sayang tidak berbelah bahagi rakyat kepada beliau.

ANAK lelaki Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Mohammad Naim Kurniawan Moktar, menyiram air mawar di pusara bapanya di Tanah Perkuburan Kampung Likas hari ini. Foto BERNAMA

Mereka yang hadir kemudian berpusu-pusu membantu urusan pengebumian termasuk mengangkat jenazah, menyediakan tapak perkuburan dan melakukan kerja-kerja tanah.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah yang juga Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Ariffin, Bendahari UMNO Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar, sanak saudara dan rakan seperjuangan Allahyarham.

JENAZAH Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin dibawa ke Tanah Perkuburan Kampung Likas hari ini. Foto BERNAMA

Bung Moktar, 66, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini pada 1.46 pagi tadi dan pemergian itu disahkan anaknya Naim Kurniawan Moktar.

Bung Moktar mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri ke-17 pada 29 November. Bernama