SIMANGGANG: Pencapaian yang amat membanggakan buat kem tinju Sarawak apabila 11 peninjunya telah mara ke pusingan separuh akhir.
Penolong Chef De Mission (CDM) bagi sukan tinju, Datuk Snowdan Lawan berkata peninju muda yang beraksi dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) kali ini mempunyai semangat melawan yang cukup tinggi, kental dan berkobar-kobar untuk memburu pingat emas.
“Sebelas daripada 15 peninju Sarawak telah berjaya melangkah ke pusingan separuh akhir, dan ia merupakan perkembangan yang cukup membanggakan kita.
“Saya berharap kesemua 11 peninju itu nanti akan berjaya melangkah ke pusingan akhir,” katanya ketika pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Snowdan yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berharap dengan kehadiran ikon tinju Sarawak di lokasi tinju, Daeloniel McDelon Bong atau lebih mesra dengan gelaran ‘Kilat Boy’ telah menaikkan semangat peninju muda Sarawak untuk beraksi dengan cemerlang.
“Kita berharap Sarawak amnya dan Sri Aman khasnya akan dapat melahirkan lebih ramai peninju yang hebat seperti Kilat Boy,” katanya.
Jelas Snowdan, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dijangka akan hadir untuk menyaksikan saingan separuh akhir tinju SUKMA Sarawak pada Khamis) ini, 22 Ogos.
Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada pengamal media yang telah bertungkus lumus membuat liputan serta mempromosikan acara-acara SUKMA di setiap venue yang dipertandingkan di negeri ini.
“Promosi dan pubsiti berterusan daripada pengamal media membantu menambah kehadiran orang awam untuk melihat sendiri acara SUKMA yang sedang berlangsung,” tambahnya.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Betong, Dr Richard Rapu; Presiden Persatuan Tinju Sarawak, Datuk Rahman Lariwoo dan Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh.
Oleh ADI SAFARMAN