
MIRI: Kejohanan sukan di sekolah bukan sahaja bertujuan melahirkan juara di padang, sebaliknya menjadi medan untuk membentuk sahsiah, disiplin dan semangat juang dalam kalangan murid sejak usia muda.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, sukan mengajar murid untuk bangkit selepas gagal, menghormati pihak lawan serta memupuk semangat kerjasama yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
Menurut beliau, nilai-nilai yang dipelajari melalui aktiviti sukan turut membantu membentuk keperibadian serta kecemerlangan murid dalam bidang akademik.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Kejohanan Olahraga Tahunan Kali Ke-21 Sekolah Kebangsaan Senadin di sini, semalam.

Katanya, kerajaan Sarawak sentiasa memberi sokongan terhadap pembangunan sukan di peringkat akar umbi bagi mencungkil lebih ramai bakat muda yang mampu mengharumkan nama Miri, Sarawak dan Malaysia.
“Siapa tahu, mungkin bintang sukan negara yang seterusnya berada di hadapan saya pada hari ini,” katanya.
Pada masa sama, Lee mengucapkan tahniah kepada semua pemenang serta mengingatkan peserta yang tidak berjaya supaya tidak mudah berputus asa, sebaliknya menjadikan pengalaman itu sebagai pemangkin untuk terus berusaha.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa yang hadir memberi sokongan kepada anak-anak sepanjang kejohanan berlangsung, sambil menyifatkan dorongan mereka sebagai antara faktor penting yang menyuntik semangat para peserta.
Selain itu, beliau memuji komitmen pihak pengurusan Sekolah Kebangsaan Senadin, guru-guru dan jawatankuasa penganjur yang berjaya menganjurkan kejohanan dengan lancar.
Oleh Liong Chai Ling