
BEKENU: Sukan pickleball yang semakin popular di peringkat antarabangsa kini telah diperkenalkan secara rasmi di Daerah Subis dan menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk setempat.
Klinik Pickleball selama dua hari telah berjaya dianjurkan oleh Pusat Khidmat Wakil Rakyat Bekenu dengan kerjasama MUSCS Pickleball Club semalam dan hari ini menarik minat 60 peserta dari pelbagai lapisan umur termasuk golongan belia dan dewasa.
Turut hadir memantau program itu ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Datuk Rosey Yunus.
Sehubungan itu, Rosey berharap pickleball akan menjadi salah satu sukan komuniti yang menyatukan generasi, memupuk gaya hidup sihat dan semangat kesukanan dalam kalangan penduduk Bekenu dan Niah.

Menurut salah seorang peserta Syahril Afiefi Sabli dari Bekenu, beberapa sesi pengenalan dan klinik asas permainan telah diadakan di Dewan serbaguna Kampung Dagang di sini hari ini.
“Pengenalan pickleball bertujuan mewujudkan alternatif rekreasi yang sihat serta menggalakkan gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat.
“Sukan ini mudah dipelajari, menyeronokkan dan sesuai untuk seisi keluarga. Sambutan yang diterima membuktikan penduduk di sekitar Bekenu bersedia menerima sukan baharu seperti ini,” katanya.
Sementara itu, salah seorang peserta perempuan Maimun Ibrahim dari Batu Niah menyifatkan sukan tersebut sebagai aktiviti riadah yang unik dan mudah dimainkan.
“Saya baru pertama kali mencuba, tapi terus minat dengan permainan ini. Ia gabungan tenis dan badminton tapi lebih santai dan menyeronokkan,” ujarnya.
Justeru itu, dengan adanya inisiatif seperti ini, Subis terus menunjukkan kemajuan bukan sahaja dari segi pembangunan fizikal malah dari segi kesejahteraan sosial dan kesihatan masyarakat setempat.
Oleh Adum Liu