Sukan Asia: Larian obor bermula di Nagoya menjelang pemukaan bulan depan

Facebook
WhatsApp
JUARA Olimpik tiga kali dalam acara gusti Jepun Saori Yoshida menjadi pembawa obor pertama dalam larian obor Sukan Asia Aichi-Nagoya di bandar Nagoya pada 22 Ogos 2026. Foto AFP

NAGOYA: Larian obor Sukan Asia bermula di Nagoya pada Sabtu menjelang temasya itu bulan depan, dengan kira-kira 1,000 individu dijadual membawa obor berkenaan merentasi Wilayah Aichi, tuan rumah utama temasya itu, lapor Kyodo News.

Pemenang tiga pingat emas Olimpik dalam acara gusti wanita Saori Yoshida menjadi pembawa obor pertama, membawa obor dari Istana Nagoya sebelum menyerahkannya kepada penduduk tempatan untuk meneruskan larian merentasi bandar utama di tengah Jepun itu.

“Sebelum ini saya sentiasa berada di pihak yang bertanding, tetapi kali ini saya berada di pihak yang memberikan sokongan. Saya berlari dengan harapan dapat memberikan semangat kepada atlet,” kata Yoshida yang berasal dari Wilayah Mie.

BEKAS pemain tenis profesional wanita Kimiko Date, anggota kumpulan lelaki Jepun INI Takeru Goto dan bekas pemain pasukan bola sepak kebangsaan wanita Jepun Homare Sawa menghadiri upacara penyalaan api bagi Sukan Asia Aichi-Nagoya di bandar Nagoya pada 22 Ogos 2026. Foto AFP

Sebelum larian obor itu, kapten Jepun ketika menjuarai Piala Dunia Wanita 2011 Homare Sawa dan legenda tenis Kimiko Date membawa dua nyalaan api dari Tokyo dan Hiroshima, yang masing-masing menjadi tuan rumah temasya sukan pelbagai acara benua itu pada 1958 dan 1994, untuk digabungkan dengan nyalaan api yang dinyalakan di Aichi.

Obor itu dijadual dibawa merentasi Aichi dengan singgah di beberapa wilayah berdekatan sebelum digunakan untuk menyalakan kawah obor pada upacara pembukaan di Stadium Paloma Mizuho pada 19 September.

Pada Sukan Asia musim panas pertama yang diadakan di Jepun dalam tempoh 32 tahun, atlet akan bersaing dalam lebih 40 jenis sukan termasuk sukan yang sinonim dengan Asia seperti kabaddi dan sepak takraw sehingga 4 Oktober.

Temasya itu akan berlangsung terutamanya di Nagoya dan bandar lain di Wilayah Aichi. Beberapa acara turut diadakan di Tokyo serta wilayah Gifu, Shizuoka dan Osaka.

Sukan Para Asia akan menyusul dari 18 hingga 24 Oktober. – Bernama-Kyodo