
LONDON: Suhu global dijangka berterusan pada atau menghampiri paras rekod dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan purata tahunan berpotensi mencecah sehingga 1.9 darjah Celsius melebihi tahap praindustri, menurut penemuan para saintis, lapor PA Media/dpa.
Ramalan iklim baharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikeluarkan pada Khamis menunjukkan purata suhu tahunan berhampiran permukaan bumi bagi 2026-2030 akan berkisar antara 1.3 darjah Celsius hingga 1.9 darjah Celsius melebihi purata 1850-1900.
Analisis daripada Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) PBB dan Pejabat Meteorologi (Met Office) United Kingdom (UK) mendapati terdapat 86 peratus kemungkinan bahawa satu daripada tahun antara sekarang hingga 2030 akan memecahkan rekod sebagai tahun paling panas.
Perkembangan ini berlaku susulan rekod suhu pada tahun 2024 yang buat sementara waktu telah melepasi ambang 1.5 darjah Celsius, iaitu had kenaikan suhu global yang dipersetujui oleh negara-negara dunia bagi mengelakkan kesan paling buruk akibat perubahan iklim.
WMO dan Met Office mendapati terdapat 91 peratus kemungkinan bahawa sekurang-kurangnya satu tahun dalam tempoh lima tahun akan datang akan mencatatkan situasi yang sama.
Menurut para saintis, terdapat juga 75 peratus kemungkinan purata lima tahun bagi tempoh 2026 sehingga 2030 akan melebihi 1.5 darjah Celsius di atas purata 1950-1990.
Model iklim menunjukkan wujud kemungkinan purata suhu global dunia malah boleh melebihi dua darjah Celsius melebihi tahap praindustri sebelum 2030, walaupun saintis di sebalik analisis itu menyatakan perkara berkenaan amat mustahil berlaku dengan kebarangkalian kurang daripada satu peratus.
Di tempat lain, mereka mendapati suhu Artik dalam tempoh lima musim sejuk akan datang diramal berada pada 2.8 darjah Celsius di atas purata suhu bagi 1991 sehingga 2020 iaitu anomali yang melebihi tiga setengah kali ganda berbanding anomali purata suhu global bagi tempoh yang sama.
Mereka turut memberi amaran bahawa utara Eropah mungkin berhadapan dengan musim sejuk yang sangat lembap dalam tempoh lima tahun akan datang, yang merupakan satu daripada bahaya iklim utama bagi rantau tersebut kerana membawa risiko banjir.
Melalui Perjanjian Iklim Paris PBB yang dipersetujui pada 2015, negara-negara komited untuk mengambil tindakan bagi membendung pemanasan global jauh di bawah dua darjah Celsius berbanding tahap praindustri, selain meneruskan usaha mengehadkan kenaikan kepada 1.5 darjah Celsius. Langkah ini bagi mengelakkan impak terburuk daripada peningkatan paras laut, kemarau, banjir, gelombang haba dan ribut ekstrem akibat perubahan iklim.
Purata suhu dunia melebihi 1.5 darjah Celsius di atas purata 1850 sehingga 1900 buat kali pertama pada 2024 berikutan fenomena iklim “El Nino” di kawasan tropika Pasifik melonjakkan lagi suhu, di samping pemanasan global yang berpunca daripada aktiviti manusia.
Bagaimanapun, kemungkinan suhu dalam tempoh lima tahun akan datang melebihi 1.5 darjah Celsius tidak bermakna ambang tersebut telah dilepasi secara kekal, memandangkan angka pemanasan jangka panjang dikira berdasarkan purata bagi tempoh 20 tahun.
Kata saintis, pemanasan semasa adalah sekitar 1.4 darjah Celsius melebihi tahap praindustri, yang diukur daripada garis dasar tahun 1850 sehingga 1900 sebelum pembakaran bahan api fosil secara besar-besaran bermula di seluruh dunia.
WMO dan Met Office mendapati ramalan purata suhu lima tahun di tengah tropika Pasifik menunjukkan kecenderungan ke arah keadaan cuaca El Nino, terutamanya pada 2027 dan 2028.
“Terdapat ramalan El Nino pada penghujung 2026, yang meningkatkan peluang untuk tahun berikutnya, iaitu 2027, menjadi tahun yang memecahkan rekod Baharu,” kata ketua pengarang laporan itu, Leon Hermanson.
Kemas kini iklim global tahunan hingga sedekad itu dikeluarkan setiap tahun oleh WMO dan disediakan oleh Met Office. – Bernama