Oleh: Veronica Chendang
DI antara bayang, wajahnya seperti lukisan klasik yang mempersona. Rambut terang seperti surat emas, melambai lembut, merayu angin pagi.
Berdesah nafas Sania kerana kepenatan berjalan kaki dari simpang yang mengambil masa 15 minit untuk sampai ke rumahnya iaitu rumah panjang orang Iban di Kampung Rakut yang menempatkan 30 pintu, dengan lebih dari 100 penghuni penduduk Rumah panjang lama di kampung daerah Seliau. Sampai saja di rumah, dia terus meluru ke bilik kecilnya. Baru saja selesai mandi dan bersiap untuk makan. Kedengaran ketukan di pintu, lantas dia menghayun langkah malas lalu membuka pintu. Sahabat baiknya bernama Menti yang datang.
“Sania…kamu jadi ke petang nanti main bola jaring” tanya Menti pada Sania.
“Belum tahu lagi Menti, saya penat, kalau boleh buat masa ini saya nak tumpukan perhatian sepenuhnya pada pelajaran peperiksaan pun tinggal 3 bulan saja lagi” jawab Sania. Dengan wajah meredup dia memberi reaksi tidak berminat kepada gadis yang sebaya dengannya itu.
“Rugilah kamu tidak datang, dengar khabar akan ada pemilihan untuk perlawanan antara daerah yang akan di anjurkan pada bulan depan” kata Menti pada Sania, ada sedikit nada memujuk di akhir kata-katanya.
“Kamu pergi sajalah Menti, saya tidak berminat” sekali lagi Sania menolak pelawaan Menti.
“Baiklah kalau macam itu saya balik dulu” sahabatnya itu berlalu meninggalkannya.
Beberapa bulan telah berlalu, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia berakhir dengan jayanya. Dia bercadang untuk bekerja sementara waktu, namun orang tuanya tidak mengizinkan. Sania orangnya cantik manis, kulit putih melepak, ayu dan berambut panjang. Dia sangat di cemburui oleh gadis-gadis di kampungnya. Namun dalam diam dia tidak pernah merasa curiga pada Menti yang dia anggap sebagai sahabat baik itu tapi dalam diam, punya rasa iri dan dengki padanya. Apa yang Menti inginkan semuanya ada pada Sania. Bukan setakat Sania pelajar pintar dan bijak tapi menjadi rebutan dan kegilaan pelajar-pelajar lelaki mahupun sesiapa yang memandangnya. Terpesona dengan kecantikan dan kelembutan Sania, itu yang buatkan Menti makin mencemburui Sania. Dengan keputusan peperiksaan yang cemerlang, dia berhasrat ingin menyambung pelajaran ke universiti namun hasrat itu terpaksa di lupakan sebentar ini kerana orang tuanya tidak mampu biayai pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi. Menti pula hanya lulus dengan kepujian tidak sebegitu cemerlang seperti Sania. Ini menambahkan lagi rasa api cemburunya pada Sania.
Suatu hari semasa Menti mahu pergi ke rumah Sania, dia terserempak dengan Narang. Pemuda tampan di kampung mereka juga merupakan bekas pelajar Senior di sekolah mereka. Menti tahu Narang menyimpan perasaan pada Sania namun dalam diam Menti pun suka pada Narang. Kalau boleh dia mahu Narang menjadi kekasih hatinya. Tapi pemuda itu seolah-olah tidak berminat dengannya. “Apa kurang hebat sangatkah aku di matamu Narang, sampai kau tidak sedar akan kecantikan aku yang lebih anggun dari Sania? Kau kumbang yang aku puja sejak dulu lagi” bisik hati rawannya.
“Tadi aku ada jumpa Narang dia tanya pasal kau” kata Menti dengan senyum sinis.
Sania terdiam.
“Aku dengar ada pertandingan “Kumang Gawai” nanti, kau nak ikut serta ke Sania?” tanya Menti.
“Aku mungkin akan ikut sekiranya mak aku izinkan” jawab Sania.
“Kau pasti akan menang lagi tapi kali ini peringkat daerah, hadiah ditawarkan begitu lumayan”, kata Menti pada Sania. “Aku pun nak ikut juga mana tahu ada peluang jadi KUMANG“.., Menti meneruskan kata-katanya.
Di pagi nan sunyi itu, burung-burung berkicau memainkan melodi indahnya, seraya alam terpaku. Sayap burung pun berkibar, menyapu angin dengan simfoni alam yang mengagumkan. Sania awal pagi sudah mandi dan itu merupakan petua yang selalu diamalkan olehnya supaya kekal cantik. Sedang leka menatap cermin dan menyaksikan keindahan dan kagum melihat tubuh daranya itu, tiba-tiba kedengaran ketukan di pintu.
“Kau nanti pergi beli gula apongdan santan parut di kedai Ibuk Sangau” kata Nawi iaitu mak kepada Sania seraya menghulurkan duit kepada anak gadisnya itu.
“Baik mak” jawab Sania ringkas.
Sewaktu Sania membeli barang yang di suruh maknya, dia terserempak dengan Narang. Di tatapnya wajah tampan Narang itu tanpa berkedip. Seolah-olah sedang melihat seorang pahlawan gagah perkasa. Hatinya berbunga-bunga dan menyimpul senyuman terindah pada jejaka kacak itu. Namun, pertemuan itu tanpa bicara, sepantas kilat Sania menyambar plastik yang sudah terisi barang di dalam, dia menyusun langkah lalu beredar tidak menyapa mahupun bersuara hanya pandangan mata pelontar kata, dia kelu dan jadi bisu setiap kali apabila berdepan dengan Narang, getar dan gemuruh sukmanya. Dia melangkah keluar dari kedai, tanpa menoleh ke arah Narang. Dia tahu Narang sedang memerhatikannya. Pohon-pohon merimbun dan melambai-lambai, tiupan angin kencang menandakan hujan akan turun cepat-cepat Sania hayunkan langkah kaki.
“Kau kenapa Sania macam orang kena kejar hantu?” tanya ibunya kehairanan.
“Aku lari sekencang-kencangnya mak, tadi sewaktu membeli barang di kedai aku ternampak jembalang berambut hitam berbaju putih mahu menerkam aku”, Sania memberitahu maknya.
“Kau ni kenapa, mana ada hantu di siang hari” kata ibunya padanya.
“Zaman sekarang hantu tidak mengira malam atau siang, bila-bila masa saja akan menjelma”, terangnya lagi.
Menti masih lagi terfikir dan pada satu saat dia teringat akan Nenek Tambong.
“Ya..Nenek Tambong yang akan bantu aku bagaimana untuk menang pertandingan Kumang nanti”
Tidak membuang-buang waktu lalu Menti berlari keanak-anakan dan keluar secara senyap supaya ibunya tidak tahu tindak-tanduknya itu. Jalan menuju ke rumah Nenek Tambong memakan masa 20 minit. Sunyi sepi jalan menuju ke rumah orangtua itu. Kelihatan pepohon melambai mesra ke arahnya. Rasa seram sejuk badannya di tambah pula suasana di setiap jalan menyebabkan bulu tengkuknya meremang sedangkan hari masih siang lagi.
“Kau nak ke mana Menti?” ada sesuatu berbisik di telinganya.
Menti agak ketakutan tapi nekad meneruskan langkah. Dia tidak peduli akan bisikan itu. “Kenapa rasa jauh rumah Nenek Tambong ini” detik hatinya.
Nenek Tambong adalah dukun terkenal di kampungnya. Usia sudah 70 tahun tapi nampak seperti anak dara, awet muda dan tidak dimakan usia.
“Kau mahu ke rumah Nenek Tambong ke Menti?” bisikan itu sekali lagi kedengaran dan bagaikan mengekorinya.
Lalu Menti memberanikan diri memalingkan muka ke arah suara yang tidak dikenali itu. Terperanjat Menti rupa-rupanya ada seekor ular yang sebesar lengannya sepanjang 2 meter berwarna kuning hitam di seluruh tubuhnya. Dan ular itu bersayap! Terbang dengan berlegar-legar di jalan yang sunyi itu.
“Siapa kau?” Menti memberanikan diri untuk bertanya.
“Setiap manusia yang melalui jalan ini akan aku sapa dan akan aku ekori langkah mereka maka kau jangan takut Menti aku tidak akan apa-apakan kau”
“Bagaimana kau tahu namaku?”
“Sebelum kau datang sini aku sudah tahu akan kedatangan kau”, ular itu bersuara.
“Aku tidak takut akan kau, sebab kau pun makhluk ciptaan Tuhan” Menti makin berani bersuara.
“Aku Simoi cucu angkat Nenek Tambong yang menjaga dan mengawasi kawasan ini” ular itu berkata kepada Menti.
Menti meneruskan perjalanannya, perasaan takutnya hilang kerana Simoi ada menemaninya. Akhirnya sampai juga dia di tempat yang ingin di tuju. Sedang dia ingin melangkahkan kaki.
“Tunggu dulu Menti, sebaik saja kau sudah tiba di anak tangga kau harus guna kaki kanan dulu untuk teruskan langkah kau” arah Simoi padanya.
Menti menurut kata Simoi dan dia pun melangkah dengan kaki kanan. Kelihatan nenek Tambong sedang duduk bersimpuh di beranda rumah itu.
“Nenek… aku Menti, datang dari Kampung Rakut” Menti memperkenalkan diri tanpa di minta.
“Aku sudah sedia tahu akan kedatangan kau kemari” nenek Tambong menjawab dengan menoleh ke arah Menti sekilas pandang, renungan mata yang tajam. “Masuk…” pelawa nenek Tambong.
Menti masuk ke satu bilik yang dia tidak tahu itu bilik apa, mungkin bilik pemujaan. Agak gelap dan samar, terasa bulu tengkuknya meremang. Keadaan di dalam bilik itu suram dan api pelita mengelilingi setiap ruang menampakkan pasu lama yang dinamakan tajau dan beberapa tengkorak yang tergantung pada setiap penjuru bilik dan di dinding rumah kayu itu. Berdetak jantung Menti melihat tengkorak-tengkorak itu seolah-olah memandang ke arahnya. Lalu dia duduk menghadap nenek Tambong yang sedang leka mengunyah sirih, ada sedikit cairan merah menitis di mulut.
“Apa hajat kau datang menemui aku Menti?”
“Aku mahu cantik”, katanya ringkas.
“Jadi kau mahu seri wajah dan pemanis?!” tanya nenek Tambong lagi
“Lebih kurang begitulah nenek” jawab Menti sambil tersipu-sipu.
“Sudah tentu kau ada pesaing terhebat malam itu nanti” duga Nenek Tambong lagi.
“Ya nenek..saya tidak mahu kalah pada pesaing saya itu dan saya mahu menang” dengan bersemangat Menti berkata.
“Baik…tapi ada syarat” balas Nenek Tambong lagi.
“Apa syaratnya nenek?”
“Aku nak upah!” 1 ekor ayam hitam, “Rawai”, “Selampai”, “Buah Paoh”, “Pua Kumbu” dan “CincinTembaga”, aku nak dalam 1 minggu ini dan kau datang sini masa bulan mengambang.”
Rasa tercekik dinding tekaknya saat mendengar penjelasan nenek Tambong. “Mana aku nak dapatkan semua itu?” timbul tanda tanya di hatinya.
“Dan pada masa itu juga kau akan mandi bunga 7 warna” kata Nenek Tambong sambil memandang ke arahnya, sirih yang dikunyah dari tadi masih setia berada di mulut perempuan tua itu, sambil memegang sesuatu di dulang yang bertutup kain Pua Kumbu,kelihatan terkumat-kamit mulut perempuan tua itu membaca mentera. Berkepul-kepul asap keluar dari kemenyan yang di nyalakan, dan tiba satu masa nenek Tambong membuka Pua Kumbu dan kelihatan Sugu Tinggi di dalam dulang itu, bersinar-sinar, sampai terbuntang mata Menti melihat keunikan harta warisan dan yang menjadi kebanggaan orang Iban.
“Kau nak tahu tak ini adalah salah satu rahsia aku dan Sugu ini yang aku pakai dan untuk kekal cantik selalu” sekali lagi kata-kata nenek Tambong memecah lamunannya. “Hanya aku saja yang boleh pakai Sugu ini, apabila ada yang mengenakannya muka perempuan itu akan menjadi buruk dan hilang seri” terang Nenek Tambong dengan begitu jelas dan agak sedikit kasar di hujung kata-katanya.
“Kalau begitu aku pulang dulu nenek” cepat-cepat Menti mengundurkan diri dan meminta izin untuk pulang.
Seminggu selepas itu Menti datang semula membawa ‘pengeras’seperti yang di janjikan. Lalu Nenek Tambong meneruskan upacara dengan memberi Menti mandi bunga tujuh warna. Selesai sudah kesemuanya, terus dia pergi ke bilik pemujaan, dan dia menunggu di situ dengan sabar serta penuh debar. Apa yang akan nenek Tambong arahkan selepas ini dan dia akan turuti saja, walau terkadang rasa takutnya memuncak tapi segala hajat dan keinginannya harus dia teruskan. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal. Di tangan Menti, sebuah beg berisi sesuatu tanpa berlengah dan menunggu lagi, terus dia bingkas bangun lalu menukar dengan benda yang tergantung di bilik itu. Tanpa pengetahuan nenek Tambong dan berharap tindakannya itu tidak ketahuan termasuk ular yang bernama Simoi itu. Tanpa menunggu dan pamit untuk pergi dia terus cepat-cepat ke muka pintu.
“Kau nak balik sudah Menti?”tanya nenek Tambong.
“Errrr…ya nenek risau nanti mak cari sebab apa yang aku buat ini tanpa pengetahuan mak aku, lagipun hari sudah semakin gelap”.. jelas Menti sedikit gugup.
“Kau ingat apa pantang larang yang aku beritahu tadi sekali kau langgar untuk kau undur semula memang sulit” sekali lagi nenek Tambong memberi peringatan pada Menti.
“Baik nenek, terima kasih” Menti berlalu pergi dengan langkah panjang.
Dia menyusuri pada setiap jalan dan denai yang kian diselimuti kegelapan kerana malam kian menjelma. Di hatinya sedikit merasa puas dan gembira setelah berjaya mendapatkan sesuatu yang amat diingininya dari rumah orang tua itu. Sesuatu yang telah ditukarnya. Hari pertandingan hampir tiba. Perasaan Menti tidak keruan dan pada keesokan harinya dia menemui Sania.
“Kau tak resah ke pertandingan hampir dekat Sania?”tanya Menti.
“Menang kalah itu sudah adat bertanding untuk apa nak dirisaukan” jawab Sania. “Mengapa kau cemas, mungkin kali ini kau berpeluang juga untuk menang rupa kau apa kurangnya” sambung Sania lagi.
“Aku mahu lihat ngepankau” rasa tidak sabar pula Menti.
“Mari aku tunjuk pada kau” Sania membuka almari lalu mengeluarkan kotak yang lengkap penuh dengan “Ngepan Iban” untuk dia bertanding pada malam itu nanti.
“Dahsyat kau Sania, lengkap ngepan kau” tergamam Menti melihat set ngepan Iban yang akan dikenakan oleh Sania kelak.
Satu-persatu dibelek oleh Menti sampai dia terpegang Sugu Tinggi, lalu membuat helah yang sudah direncananya dari tadi.
“Sania sudah lebih 30 minit aku di sini tapi kau langsung tidak buatkan aku air, tekak aku sudah pun kering” ulas Menti.
“Baiklah aku buatkan untuk kau kopi, tunggu sekejap ya” lantas Sania bangun lalu meluru ke dapur.
Perlahan-lahan Menti mengeluarkan sesuatu dari beg yang di bawanya tadi lalu menukar Sugu Tinggi dengan milik Sania itu, secepatnya dia bertindak, sesungguhnya itu tujuannya datang untuk menemui Sania. Puas sudah hatinya, tiada apa lagi yang harus di risaukannya, kali ini pasti kemenangan akan jadi miliknya!. Tebalnya angan-angan Menti. Hari pun mulai merangkak senja, Menti meminta untuk pulang setelah semuanya usai.
Hari yang ditunggu menjelang tiba. Tinggal beberapa jam lagi pertandingan akan berlangsung. Sania tiba-tiba saja rasa gusar dan dadanya terkadang rasa berdebar dan fikirannya sudah tidak tentu arah, tidak pernah sekali dia merasakan begitu, di hatinya seolah-olah akan ada sesuatu perkara buruk akan berlaku pada dirinya. Acara sudah pun bermula, di atas panggau berjalan dengan lemah-gemalai, sopan dan anggun sekali para-para “Kumang” yang bertanding lengkap dengan ngepan sekali pada malam itu. Sampailah ke puncak acara, Sania terasa bagaikan ada sesuatu merayap di seluruh mukanya, badannya terasa panas, kulit di kedua-dua tangan serta kakinya seolah terbakar, dia sudah tidak tentu arah. Dan keputusan pun di umumkan. “Pemenang Kumang Gawai untuk malam ini jatuh kepada Menti Anak Serit”, semua penonton bersorak-sorai lalu bertepuk tangan, setelah pengacara majlis mengumumkan nama-nama pemenang.
Sania tidak peduli dengan keputusan itu kerana dia sudah tidak tahan lagi, badan dan mukanya semakin membahang kepanasan. Dia meluru menuju ke bilik persalinan, lantas menatap cermin di bilik tersebut. Dengan tidak semena-mena dia menjerit melihat perubahan pada wajahnya.
“Apa dah jadi dengan aku ni, kenapa dengan muka aku ni?!” Sania berkata sambil menangis dan separa kerasukan.
Mak Sania yang sedari dari tadi menemaninya terkejut sekali melihat keadaan muka anaknya yang tiba-tiba berubah. Kilat sambung-menyambung di langit, guruh berbunyi dengan kuatnya, mak Sania segera membawa anak gadisnya keluar dari situ.
Selepas menerima hadiah, Menti kelihatan tenang dan tidak berhenti tersenyum, dia merasa puas dengan keputusan itu dan bangga pada dirinya. “Padan muka kau Sania apa kau ingat kau hebat sangat” hatinya berbisik keangkuhan.
Sedang orang ramai leka dengan acara masing-masing, tiba-tiba dewan itu didatangi oleh Nenek Tambong.
“Kau Menti…pulangkan Sugu Tinggi itu, kau telah melanggar penjanjian dengan aku” teriak nenek Tambong, matanya membulat memandang ke arah Menti.
Orang ramai yang berada di situ sudah mulai ketakutan, bertempeliaran lari melihat muka nenek Tambong yang menyeramkan bagai Kuntilanak, kedatangannya di sambut dengan petir dan guruh yang bagai hililintar, suasana menjadi kacau-bilau.
Menti ingin melarikan diri tetapi nenek Tambong sempat menghalang, kaki Menti bagaikan di ikat rapat dan dia tidak dapat bergerak lalu kaku di situ.
“Nenek..tolong lepaskan aku, sakit!”, Menti meraung kesakitan.
“Aku tidak akan lepaskan kau selagi kau tidak pulangkan barang milik aku, kalau kau masih berdegil lagi aku akan sumpah muka kau jadi buruk selamanya”
“Nenek..Sugu Tinggi yang asli di pakai oleh Sania aku yang telah menukarnya” Menti mengakui kesalahannya sambil disusuli dengan tangisan.
Mendengar penjelasan Menti, mak Sania menanggalkan Sugu Tinggi yang di pakai oleh Sania dengan serta-merta. Tiba-tiba pandangan Menti kabur, semuanya gelap dan akhirnya dia pun rebah dan tidak sedarkan diri.
Sepurnama telah pun berlalu Menti dan maknya diarah keluar dari kampung itu. Mereka tinggal di atas sebuah bukit dalam satu jam perjalanan dari kampung itu. Muka Sania sudah pun kembali ke asal semula. Dia sedar kini, sahabat yang dianggap baik sanggup menikam dari belakang. Sekarang dia tidak mahu mempercayai sesiapa lagi. Anggap saja semua yang berlaku hanya satu mimpi!