KUALA LUMPUR: Jumlah subsidi upah yang diluluskan kepada majikan di bawah Program Subsidi Upah bermula pada April 2020 berjumlah sebanyak RM11.93 bilion setakat 18 September 2020, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata program yang pada asalnya untuk tempoh tiga bulan (April, Mei dan Jun) itu telah dilanjutkan selama tiga bulan tambahan (Julai, Ogos dan September) dan memanfaatkan lebih 2.6 juta pekerja serta 323,583 majikan.
“Tidak lama lagi (program subsidi upah) akan dilanjutkan lagi antara tiga hingga enam bulan (bagi pemohon sedia ada dan baharu) di bawah pakej KITA PRIHATIN,” katanya ketika membentangkan Laporan LAKSANA ke-23 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) menerusi laman Facebook beliau, di sini, semalam.
Selain itu Tengku Zafrul turut menegaskan bahawa kerajaan tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan terhadap majikan yang tidak bertanggungjawab dan tergamak mengambil kesempatan melalui program subsidi upah di saat kerajaan berusaha membantu perniagaan dan pekerja untuk kelangsungan perniagaan mereka.
Menurutnya, kerajaan mendapat laporan bahawa sejumlah lebih kurang RM500,000 subsidi upah yang sepatutnya dibayar kepada pekerja, telah diambil oleh majikan.
“Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada majikan yang melakukan kesalahan ini,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata terdapat peningkatan sebanyak 4,498 individu yang berjaya mendapat pekerjaan di bawah Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan pada minggu ini iaitu seramai 38,186 pekerja berbanding 33,688 pada minggu lepas.
Katanya, jumlah itu merangkumi 29,575 orang di bawah umur 40 tahun, 4,829 orang bagi golongan berusia di antara 40 hingga 60 tahun, 270 orang kurang upaya (OKU) dan 3,512 perantis.
“Sebanyak RM1.5 bilion telah diperuntukkan untuk program ini,” kata Tengku Zafrul. – Bernama