Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Struktur tiub jadi tarikan, Lepak Kampung Talang tampil konsep rehat santai berbeza
  • INSPIRASI

Struktur tiub jadi tarikan, Lepak Kampung Talang tampil konsep rehat santai berbeza

Utusan Sarawak 9 hours ago
RUANGAN yang mempunyai struktur tiub menjadi tarikan orang ramai di Lepak Kampung Talang.

KUALA KANGSAR: Kira-kira tujuh minit memandu dari pekan Kuala Kangsar, terletak satu destinasi rehat santai yang mencuri perhatian masyarakat menerusi konsep unik yang menjadikan struktur ala batang kayu besar sebagai ruang bersantai.

Memberikan ilusi kampung bunian di tengah-tengah hutan, Lepak Kampung Talang yang diusahakan oleh pelakon Reza Hasbi, atau nama sebenarnya Mohamad Ridzuan Hasbullah, 37, menggabungkan elemen seni bina kreatif, alam semula jadi dan jiwa kampung dalam satu pengalaman yang sukar ditemukan di tempat lain.

Mengambil inspirasi daripada ruang penginapan di Jepun yang dikenali sebagai penginapan kapsul, Reza berkata beliau mengetengahkan struktur tiub sebagai ruang santai sambil menikmati makanan.

“Di negara Jepun, reka bentuk tiub ini digunakan sebagai alternatif penginapan kerana bentuknya yang lebih stabil dan sesuai dalam situasi bencana seperti gempa bumi. Daripada situ saya nampak potensi tiub ini bukan sahaja untuk penginapan, tetapi boleh diolah jadi ruang santai yang unik.

“Selain itu, kita terapkan sedikit konsep dari China menerusi susunan struktur bertingkat bagi membolehkan pengunjung menikmati ruang makan secara lebih terbuka dan berbeza, dengan elemen buluh diletakkan di bahagian depan tiub untuk memberi impak dan kecantikan tersendiri,” katanya yang mengoperasikan kawasan tersebut sejak 2018.

MERIAH… Lepak Kampung Talang dipenuhi pengunjung terutamanya pada setiap hujung minggu.

Pemenang kedua rancangan realiti Pilih Kasih itu berkata sebagai anak seni yang sering berkeinginan untuk berkarya, beliau menjadikan Lepak Kampung Talang sebagai platform untuknya meluahkan kreativiti dengan mengetengahkan elemen kehijauan alam semula jadi dan suasana kampung sebenar.

“Pengunjung yang datang ke Lepak Kampung Talang ini bukan sahaja daripada kaum Melayu malah Cina, India serta pelancong dari luar negara demi merasai ketenangan suasana kampung sehingga ada yang menyangka terdapat sungai di lokasi ini.

“Begitulah gambaran ketenangan dan kehijauan yang sering dikongsikan oleh pengunjung, dan daripada respons mereka itu, bermakna apa yang saya mahu sampaikan dan mereka rasai sudah tercapai,” katanya, menambah kawasan itu pernah menerima lebih 1,000 pengunjung sehari selepas tular di media sosial.

Selain menjadi tarikan pelancongan, pelakon watak utama teater Beting Beras Basah itu berkata Lepak Kampung Talang turut memberi impak kepada komuniti setempat menerusi peluang pekerjaan kepada golongan belia selain menyediakan ruang kepada peniaga kecil menjana pendapatan melalui gerai makanan.

Pada masa ini terdapat 11 peniaga yang menawarkan pelbagai menu termasuk masakan Barat.

ANTARA gerai makanan yang terdapat di Lepak Kampung Talang.

Bagaimanapun, beliau berkata cabaran utama kini adalah dari segi penyelenggaraan serta akses jalan yang terhad selain kekangan modal untuk menambah baik kemudahan.

“Saya perlu melakukan kerja pembersihan setiap hari kerana daun daripada pokok-pokok di kawasan ini sangat banyak, dan kalau tidak dibersihkan sehari atau dua hari, kawasan ini boleh kelihatan seperti sudah lama tidak beroperasi,” katanya.

Bagi meningkatkan kemeriahan Lepak Kampung Talam, Reza berkata beliau menganjurkan acara Dua Hari Ngopi baru-baru ini yang menggabungkan elemen kopi, cerita dan suasana kampung dalam satu pengalaman lebih bermakna.

“Semasa program itu, kawasan ini kita buka bermula 10.00 pagi hingga lewat malam, berbanding hari biasa dari 6.00 petang hingga tengah malam. Melihat pada sambutan, kita merancang untuk meneruskan acara berkenaan pada masa akan datang.

“Sekiranya sambutan terus menunjukkan positif, kita akan kekalkan tempoh operasi itu dan akan cuba konsep penginapan secara sementara semasa musim perayaan dengan menyediakan beberapa unit tiub untuk pengunjung bermalam,” katanya. – Bernama

Tags: inspirasi

Continue Reading

Previous: Pelajar Tingkatan Dua diiktiraf MBOR berjaya hafal 300 digit nombor Pi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.