BARU-baru ini, kerajaan negeri Kelantan mewajibkan premis makanan, termasuk milik bukan Islam yang dilanggani pelanggan Islam, mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Langkah ini melibatkan premis seperti dapur hotel, restoran francais, kopitiam dan kilang makanan. SPHM boleh diperoleh melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik), dengan lesen kekal hanya diluluskan selepas mendapatkan SPHM manakala lesen sementara diberikan selama setahun.
Dasar ini dipantau Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) untuk menjamin kehalalan makanan, meningkatkan keyakinan pengguna dan memperkemas sektor makanan. Premis bukan Islam bebas menjual makanan tidak halal, menjadikan dasar ini tidak melanggar kebebasan beragama.
Meskipun langkah ini bertujuan murni, akan tetapi dianggap membebankan terutama kepada peniaga sektor kecil dan sederhana (PKS) dan bertentangan dengan dasar permohonan pengesahan halal secara sukarela, pada masa sama terdapat rungutan ia membebankan pengusaha kecil dan sederhana kerana isu modal kecil, literasi pengetahuan terbatas, kos persijilan dan pasaran hanya bersifat tempatan.
Paling kurang ia memerlukan masa untuk perubahan dan persediaan secukupnya. Begitu juga isu sebatan di khalayak ramai di Terengganu, ada pihak membantah menurut Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin bahawa bantahan terhadap pelaksanaan hukuman sebat di khalayak hanyalah membantah kepada keputusan pemerintah, bukannya menentang ajaran Islam.
Hal ini kerana menurut Mufti Perlis tindakan menyebat kesalahan khalwat di khalayak ramai bukanlah hukum Allah dan Rasul-Nya, sebaliknya ia hanyalah pilihan penguasa semata-mata.
TAFSIRAN POLITIK
Sebenarnya, langkah PAS yang mewajibkan sijil halal di Kelantan dan memperkenalkan hukuman sebatan di khalayak ramai di Terengganu lebih kepada strategi politik yang berakar kepada agenda ideologi parti.
Tindakan ini tidak hanya mencerminkan komitmen PAS terhadap politik identiti tetapi juga merupakan langkah untuk memperkukuhkan kedudukan politik mereka, terutama dalam kalangan penyokong Melayu-Islam.
Salah satu tujuan utama tindakan ini adalah untuk menonjolkan komitmen PAS terhadap pelaksanaan syariat Islam. Parti ini ingin menunjukkan kepada penyokongnya bahawa mereka adalah pihak yang konsisten dalam memperjuangkan nilai-nilai Islam, sejajar dengan asas perjuangan parti, meskipun tindakan tersebut dibantah oleh cendekiawan Islam dan pihak aktivitis dan dibahas oleh pihak peguam.
IMEJ PENJAGA NILAI ISLAM
Dalam konteks ini, pelaksanaan sijil halal wajib di Kelantan pula berfungsi sebagai simbol bahawa PAS serius dalam memastikan pengamalan Islam yang lebih menyeluruh dalam masyarakat.
Begitu juga, hukuman sebatan di khalayak ramai di Terengganu dilihat sebagai usaha untuk menegakkan undang-undang syariah secara terang-terangan.
Imej ini amat penting bagi PAS, kerana ia memberikan kelebihan politik berbanding parti lain yang cuba dipersepsikan sebagai kurang tegas dalam melaksanakan agenda Islam.
MENONJOLKAN KEBERANIAN POLITIK
Keputusan ini juga memberikan isyarat bahawa PAS bersedia mengambil langkah-langkah yang berani walaupun mungkin menimbulkan kontroversi. Ia memberi gambaran bahawa parti ini lebih mengutamakan prinsip Islam berbanding kebimbangan mengenai penerimaan umum, terutamanya di luar kawasan majoriti Melayu-Islam. Namun anehnya, isu pembalakan, perlombongan yang mencemar alam sekitar dilihat kurang tegas.
MEMASTIKAN SOKONGAN
TERAS DI PANTAI TIMUR
Langkah ini bertujuan untuk mengekalkan sokongan teras PAS, di Pantai Timur khusus di Kelantan dan Terengganu, yang diketahui bahawa sentimen Melayu-Islam yang kuat merupakan asas kekuatan politik mereka.
Kawasan seperti Pantai Timur merupakan kubu kuat PAS, majoriti pengundi cenderung kepada naratif Melayu dan Islam. Dengan memperkenalkan langkah seperti sijil halal dan sebatan di khalayak ramai, PAS mengukuhkan lagi sokongan teras daripada kelompok ini, memastikan pengundi setia mereka terus memberikan kepercayaan kepada parti.
PERSAINGAN IDEOLOGI
DENGAN UMNO
Dalam landskap politik semasa, PAS juga bersaing dengan UMNO dalam merebut sokongan Melayu-Islam. Langkah ini berfungsi untuk menonjolkan kononnya bahawa PAS lebih komited terhadap agenda Islam berbanding UMNO, yang sering dilihat sebagai lebih pragmatik dalam pendekatan mereka dan ini cuba diperoleh manfaat menangguk pengaruh untuk memberikan kelebihan kompetitif kepada PAS dalam persaingan ideologi di kawasan Pantai Timur. Kesemua ini untuk mempertahankan sokongan daripada segmen pengundi mereka.
MENCABAR NARATIF
KERAJAAN PERPADUAN
Tindakan ini juga dilihat sebagai usaha PAS untuk mencipta perbezaan ketara antara negeri-negeri di bawah pentadbiran mereka dengan Kerajaan Pusat.
Dalam naratif politik, PAS berusaha menggambarkan diri mereka sebagai alternatif yang kononnya lebih Islamik berbanding Kerajaan Perpaduan.
Dengan mengambil langkah-langkah yang kontras dengan Kerajaan Pusat, PAS ingin cuba menunjukkan bahawa mereka mampu melaksanakan dasar-dasar yang dianggap lebih sesuai dengan prinsip Islam berbanding Kerajaan Perpaduan, yang sering mengambil pendekatan lebih inklusif dan moderat.
Strategi ini menunjukkan bahawa PAS memilih untuk mengekalkan dominasi di kubu kuat mereka daripada mencuba menarik sokongan daripada segmen yang lebih moderat atau pelbagai kaum.
NARATIF KETEGASAN
DALAM ISLAM
PAS menggunakan langkah ini untuk memaparkan diri mereka sebagai pihak yang tegas dan tidak kompromi dalam menegakkan syariat Islam dan ini membolehkan mereka mencabar Kerajaan Perpaduan yang cuba dipersepsikan lebih longgar dalam pelaksanaan prinsip Islam, terutama oleh pengundi di kawasan konservatif.
Bagaimanapun, langkah ini ternyata berisiko politik kerana ia berpotensi mengurangkan daya tarikan PAS kepada pengundi di luar kawasan tradisional mereka, khususnya di kawasan bandar dan pelbagai kaum dan menjejaskan sokongan luar Pantai Timur.
TANGGAPAN REGRESIF
PENGUNDI BANDAR
Hukuman sebatan di khalayak ramai, misalnya, dianggap kurang sesuai dengan nilai-nilai moden oleh pengundi bandar dan golongan muda.
Dalam masyarakat yang semakin terbuka dan pelbagai, langkah ini boleh dilihat sebagai regresif dan bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia.
Seterusnya, ia menyebabkan kurang tarikan kepada pengundi bukan Islam dan ternyata langkah seperti ini juga sukar diterima oleh pengundi bukan Islam yang menginginkan pendekatan yang lebih inklusif.
PAS dijangka akan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan sokongan daripada segmen ini jika terus menumpukan kepada agenda seumpama ini.
STRATEGI FOKUS WILAYAH
PAS menyedari bahawa kekuatan mereka terletak pada sokongan di kawasan Pantai Timur. Dengan memastikan pengundi teras terus bersama mereka, PAS berharap dapat mengekalkan kuasa politik di negeri-negeri ini, walaupun ia boleh menjejaskan peluang mereka di kawasan lain kerana mahu terus relevan di kawasan yang menjadi asas kekuatan mereka.
Hakikatnya, langkah PAS mewajibkan sijil halal di Kelantan dan mengadakan sebatan di khalayak ramai di Terengganu adalah strategi politik yang bertujuan untuk memperkukuhkan kedudukan mereka di kawasan kubu kuat Melayu-Islam, terutamanya di Pantai Timur.
Ia sebagai usaha untuk mencipta naratif bahawa PAS adalah parti yang paling komited terhadap agenda Islam. Walaupun langkah ini mengukuhkan sokongan teras di kawasan konservatif, ia juga menimbulkan cabaran dalam usaha PAS untuk meluaskan pengaruh mereka di peringkat nasional.
Jika PAS ingin terus relevan di luar kawasan tradisional, mereka perlu mencari keseimbanÂgan antara mempertahankan sokongan teras dan menarik segmen pengundi yang lebih pelbagai.
PAS perlu menyesuaikan strategi politik mereka dengan perubahan dinamik masyarakat dan ini akan menentukan tahap mereka boleh bertahan sebagai parti politik utama di negara ini.
- DATUK Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).