Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Stesen Penyelidikan Bako perkukuh peranan Sarawak sebagai hab penyelidikan biodiversiti
  • SEMASA

Stesen Penyelidikan Bako perkukuh peranan Sarawak sebagai hab penyelidikan biodiversiti

Utusan Sarawak 16 hours ago
HADIR….Datuk Len Talif Salleh menandatangani plak perasmian Stesen Penyelidikan Bako sempena majlis pelancaran rasmi di Taman Negara Bako, Kuching, hari ini. Foto: Shikin Mahmud

SANTUBONG: Usaha memperkukuh landskap penyelidikan biodiversiti di negeri ini terus diperkasa menerusi pelancaran rasmi Stesen Penyelidikan Bako, hasil kerjasama strategik antara Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC).

Majlis perasmian stesen berkenaan disempurnakan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh di Taman Negara Bako, hari ini.

Beliau menyifatkan pelancaran stesen berkenaan sebagai satu langkah bersejarah dalam memperkukuh peranan Sarawak sebagai hab penyelidikan biodiversiti bukan sahaja di peringkat nasional, malah serantau dan antarabangsa.


“Walaupun Taman Negara Bako hanya meliputi kawasan seluas kira-kira 2,000 hektar, namun ia memiliki tahap biodiversiti yang sangat tinggi dan kaya dengan khazanah geologi yang unik, sekali gus menjadikannya lokasi yang strategik untuk penyelidikan pelbagai disiplin,” katanya.

Menurut beliau, stesen tersebut akan berfungsi sebagai makmal semula jadi yang terbuka kepada pelajar, pensyarah, penyelidik serta agensi berkepentingan, khususnya dalam bidang ekologi, genetik, pemuliharaan dan perubahan iklim.

Jelas beliau, pembinaan stesen ini memberi kelebihan kepada pelajar dan penyelidik dari peringkat prasiswazah sehingga pasca-doktoral untuk menjalankan kajian secara langsung di lapangan tanpa bergantung sepenuhnya kepada fasiliti makmal luar.

“Ini sejajar dengan usaha membina Sarawak berasaskan pengetahuan dan inovasi seperti yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030),” ujarnya lagi.

HADIR….Datuk Len Talif Salleh menghadiri perasmian Stesen Penyelidikan Bako sempena majlis pelancaran rasmi di Taman Negara Bako, Kuching, hari ini. Foto: Shikin Mahmud


Beliau turut mencadangkan supaya kerjasama penyelidikan antara Unimas dan SFC diperluas ke luar kawasan Taman Negara Bako, termasuk kawasan paya lumpur dan kawasan bersempadan seperti Kuching Wetlands, yang kaya dengan biodiversiti dan habitat unik.

Beliau turut menggesa agar program libat urus bersama komuniti setempat dilaksanakan bagi memastikan manfaat taman negara dapat dikongsi bersama masyarakat, di samping menjadikan mereka sebagai rakan kongsi dalam usaha pemuliharaan dan pendidikan sains.

“Kita mahu taman negara ini bukan sahaja menyumbang kepada ekosistem, malah menjadi pemangkin kepada ekonomi komuniti melalui konsep ekonomi biru dan hijau,” katanya.

PERASMIAN… Datuk Len Talif Salleh menyempurnakan gimik perasmian Stesen Penyelidikan Bako sempena majlis pelancaran rasmi di Taman Negara Bako, Kuching, hari ini. Foto: Shikin Mahmud


Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar kolaborasi antara universiti dalam dan luar negara dipertingkatkan, khususnya membabitkan institusi penyelidikan di Borneo seperti Universiti Brunei Darussalam, Universitas Tanjungpura dan universiti-universiti di Kalimantan.

Katanya, pengumpulan dan penyelarasan data penyelidikan secara bersama melalui satu sistem seperti Rangkaian Data Satelit Borneo boleh menjadi platform perkongsian data besar biodiversiti serantau.

“Sudah tiba masanya kita meletakkan institusi tempatan seperti Unimas dan SFC sebagai peneraju penyelidikan tropika di rantau ini. Kita mahu hasil penyelidikan dari Sarawak menjadi rujukan antarabangsa,” tegasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Taman Negara Bako kini dicalonkan sebagai salah satu taman di bawah pengiktirafan Asian Heritage Park oleh UNESCO, bersama-sama dengan Taman Negara Lanjak Entimau, dan keputusan dijangka diperoleh pada September ini.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran wakil-wakil daripada Unimas, SFC, agensi kerajaan serta komuniti setempat yang terlibat secara langsung dalam aktiviti konservasi dan penyelidikan di kawasan berkenaan.

Stesen Penyelidikan Bako dijangka menjadi mercu tanda baharu kepada pembangunan penyelidikan dan pemuliharaan biodiversiti di Sarawak, di samping menyokong matlamat menjadikan negeri ini sebagai pintu masuk utama penyelidikan biodiversiti di Pulau Borneo.

Oleh Shikin Mahmud

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Penyasaran semula subsidi tidak jejas bekalan telur, kekal stabil dan mencukupi – Mohamad
Next: Anwar bertemu Premier Sarawak, Ketua Menteri Sabah bincang kerjasama strategik

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.