STEM, AI kunci daya saing Sarawak – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
PERASMIAN.... Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan Persidangan Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak di hotel Kingwood, hari ini.

SIBU: Pembangunan modal insan yang menguasai Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta kecerdasan buatan (AI) menjadi teras utama usaha Sarawak memperkukuh daya saing dan memacu ekonomi masa depan dalam mendepani cabaran perubahan iklim.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak memiliki kelebihan menerusi hutan hujan tropika, sumber air, tenaga boleh diperbaharui serta kekayaan sumber bawah tanah, namun kejayaan Sarawak bergantung kepada keupayaan melahirkan generasi berilmu dan berkemahiran tinggi yang menguasai teknologi masa depan.

“Kita ada kekuatan, tetapi jurang yang perlu diisi ialah ilmu. Anak-anak Sarawak mesti menguasai teknologi terkini supaya mampu menyelesaikan cabaran masa depan dan mengurus ekonomi secara mampan,” katanya ketika merasmikan Persidangan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak Ke-61 Tahun 2026 di hotel Kingwood Sibu, hari ini.

Abang Johari berkata, perubahan iklim yang semakin ketara menuntut lebih ramai tenaga mahir dalam bidang STEM, termasuk teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), teknologi hidrogen serta AI bagi menyokong pembangunan mampan.

UNTUK KENANGAN… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merakam kenangan bersama para peserta Persidangan Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak di hotel Kingwood, hari ini.

“Sehubungan itu, kerajaan Sarawak terus memperkukuh inisiatif pendidikan menerusi Program Dwibahasa (DLP), Program Inisiatif Pembelajaran Sarawak (SLIP) serta penubuhan Pusat Sains Sarawak bernilai lebih RM200 juta yang dilengkapi kemudahan moden termasuk asrama bagi membolehkan pelajar luar bandar mengikuti program pendedahan sains,” ujarnya lagi.

Abang Johari berkata, pendedahan awal kepada teknologi membuktikan pelajar luar bandar juga mampu menguasai bidang berteknologi tinggi, termasuk penggunaan dron.

“Kita mahu melahirkan lebih ramai saintis, jurutera, inovator dan usahawan teknologi. Latar belakang kaum atau agama bukan penghalang, yang penting ialah penguasaan ilmu,” katanya.

Katanya, kerajaan Sarawak urut memperkukuh akses pendidikan melalui pembangunan infrastruktur termasuk jalan raya, bekalan air dan elektrik ke kawasan pedalaman, selain mengambil alih jalan balak bagi memudahkan perhubungan ke sekolah luar bandar.

Katanya, jaringan jalan yang menghubungkan kawasan pedalaman seperti Miri, Marudi, Long Terawan dan Long Lama akan memudahkan pelajar serta guru menikmati kemudahan pendidikan dengan lebih baik.

Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak meneruskan pelaksanaan pendidikan tinggi percuma di institusi milik kerajaan negeri dengan peruntukan RM260 juta tahun ini, melibatkan kira-kira 10,000 pelajar bagi pengambilan pertama dan kedua dalam 64 bidang pengajian yang diperlukan untuk menyokong pembangunan negeri, termasuk sains, kewangan, perbankan, undang-undang dan psikologi.

Menurutnya, peningkatan hasil negeri daripada kira-kira RM6.7 bilion kepada RM14 bilion membolehkan kerajaan membiayai pelbagai inisiatif pendidikan serta menubuhkan Dana Kekayaan Berdaulat (Sovereign Wealth Fund) sebagai jaminan masa depan generasi akan datang. 

“Saya menggesa warga pendidik memperkukuh budaya membaca, memupuk pemikiran kritis dan membimbing pelajar menguasai AI serta teknologi digital,” katanya.

Mengambil contoh kejayaan Cape Verde di pentas bola sepak antarabangsa, Abang Johari berkata, kejayaan tidak bergantung kepada saiz sesebuah negara, sebaliknya kepada kepimpinan, pengurusan dan kesungguhan membangunkan bakat. 

“Sarawak juga boleh mencapai kejayaan yang besar jika kita mempunyai kepimpinan yang berani, ekosistem pendidikan yang kukuh dan masyarakat yang menghargai ilmu,” katanya.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras projek agensi pembangunan wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi,

Residen Bahagian Sibu, Superi Awang Said; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Mahli, Pengetua SMK St Augustine yang juga Yang Dipertua Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak, Ujai Sambau serta yang lain.

Oleh Akun Giman