
KUCHING: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) menjalin kerjasama pemasaran dengan Brunei Tourism dan Royal Brunei Airlines di Arabian Travel Market (ATM) 2025.
ATM merupakan acara pengembaraan dan pelancongan yang diadakan dari 28 April hingga 1 Mei di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Dalam satu kenyataan hari ini, STB berkata kerjasama itu bertujuan mempromosikan Sarawak sebagai destinasi percutian yang menarik untuk pengembara Asia Barat dan India.
Kerjasama tiga hala itu dipacu oleh peningkatan kekerapan penerbangan antara Dubai, Brunei Darussalam dan Kuching, memberikan kelancaran perjalanan pelbagai destinasi melalui syarikat penerbangan Royal Brunei Airlines.
“Laluan Dubai-Brunei kini beroperasi tiga kali seminggu manakala penerbangan Brunei-Kuching empat kali seminggu, menawarkan akses pantas dan selesa dengan gabungan unik keindahan alam semula jadi dan kekayaan warisan budaya di Sarawak,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif STB Sharzede Salleh Askor berkata keterlihatan Sarawak yang semakin meningkat di pentas pelancongan antarabangsa adalah bukti komitmen STB terhadap pengalaman perjalanan yang mampan dan kaya dengan budaya.
“Melalui kerjasama strategik dengan Brunei Tourism dan Royal Brunei Airlines ini, kami mengukuhkan lagi perkongsian serantau dan meluaskan akses untuk pengembara-pengembara dari Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan pasaran India, dengan menawarkan pengembaraan yang mesra Muslim, tulen dan berakar umbi dalam alam semula jadi dan warisan,” katanya.
Di ATM 2025, Lembaga Pelancongan Sarawak menganjurkan Sesi Perniagaan ke Perniagaan dan Perkembangan Terkini Produk, melibatkan seramai 50 ejen pelancongan dari Dubai, UAE dan negara GCC yang lain. – Bernama