SIBU: Penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian kepada tuntutan kedua-dua wilayah itu sekiranya nisbah sekurang-kurangnya satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Dewan Rakyat masih tidak dijamin.
Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS), Ir Christopher Gira Sambang, berkata persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk menambah kerusi Sabah dan Sarawak sememangnya perkembangan positif, namun sasaran akhirnya perlu dinyatakan dengan jelas.
Menurutnya, tuntutan Sabah dan Sarawak bukan sekadar mendapatkan beberapa kerusi tambahan tetapi memulihkan perlindungan politik yang selaras dengan semangat pembentukan Malaysia pada 1963.

“Pada masa ini, Sabah dan Sarawak hanya memiliki 56 daripada 222 kerusi Parlimen, iaitu kira-kira 25.2 peratus.
“Oleh itu, kita memerlukan jaminan terhadap nisbah, bukan sekadar pengumuman mengenai penambahan bilangan kerusi,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.
Gira yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin berkata, nisbah satu pertiga penting sebagai perlindungan perlembagaan dan politik bagi memastikan sebarang pindaan besar yang memerlukan sokongan dua pertiga tidak dapat dibuat tanpa penglibatan serta persetujuan wakil Sabah dan Sarawak.
Katanya, tuntutan itu bukan bertujuan memberikan Sabah dan Sarawak kuasa untuk menguasai Parlimen atau menafikan hak negeri lain.
Sebaliknya, katanya, ia bagi memastikan kedudukan, kepentingan dan hak wilayah Borneo tidak diketepikan dalam keputusan penting di peringkat Persekutuan.
Gira turut menegaskan bahawa sekiranya kerusi Parlimen di Semenanjung ditambah, jumlah kerusi Sabah dan Sarawak juga perlu diselaraskan secara automatik supaya nisbah sekurang-kurangnya satu pertiga terus dikekalkan.
“Jika tidak, nisbah itu akan kembali mengecil dan perlindungan yang diberikan hanya bersifat sementara.
“Sebab itu jaminan berdasarkan peratusan lebih penting daripada menetapkan satu jumlah kerusi semata-mata,” katanya.
Beliau berpandangan jaminan satu pertiga itu perlu dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan bagi memberikan kepastian undang-undang dan tidak berubah mengikut keputusan politik semasa.
Menurutnya, pindaan tersebut perlu menetapkan jumlah gabungan kerusi Sabah dan Sarawak tidak boleh kurang daripada satu pertiga keseluruhan kerusi Dewan Rakyat.
“Jika cadangan akhir masih tidak mencapai satu pertiga, kita boleh mengalu-alukan penambahan itu sebagai satu langkah awal, tetapi ia tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian penuh,” katanya.
Gira berkata Kerajaan Persekutuan perlu melihat isu itu berdasarkan sejarah pembentukan Malaysia, semangat MA63 serta kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah pengasas Persekutuan.
Beliau turut menggesa rundingan secara telus diadakan bersama kerajaan Sabah dan Sarawak sebelum sebarang cadangan pindaan dimuktamadkan.
“Jangan sekadar menambah beberapa kerusi tanpa menyelesaikan tuntutan pokok.
“Pemuda PRS akan terus menyokong usaha kerajaan Sarawak mempertahankan hak negeri melalui rundingan dan saluran perlembagaan,” katanya.
Oleh Tarani Lanting




