ADUM LIU
MIRI: Berita Daerah Zon Hijau yang diumumkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dan Majlis Keselamatan Negara kelmarin telah menaikkan semangat masyarakat di Daerah Subis untuk mengekalkan status tersebut.
Daerah Subis antara 26 daerah yang dikategori sebagai zon hijau bebas wabak Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sekali gus telah melegakan orang ramai di sini. Awang Maulana, 69 tahun ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dagang Bekenu semalam berkata, berita zon hijau sangat melegakan dan berazam untuk menjaga kebersihan diri serta sekitar kawasan rumah.
“Saya dan isteri telah berada di rumah sepanjang arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Pertama 18 hingga 31 Mac dan masuk ke Fasa Kedua sekarang. “ Selepas menerima berita zon hijau, saya bersama isteri memberanikan diri untuk keluar rumah bagi membersihkan kawasan sekeliling,” jelasnya.
Jame Stephen yang berasal dari Daerah Sebauh ketika dihubungi berkata, berita itu sangat baik untuk semua dan terima kasih dengan maklumat yang disampaikan oleh kerajaan dari masa ke semasa. Katanya, PKP yang masih tinggal 12 hari lagi maka itu teruskan kuarantin demi menghijaukan lagi zon Sebauh.
“Kewujudan Zon Hijau Sebauh adalah di atas kerjasama oleh PDRM, RELA yang sentiasa menjaga pergerakan orang ramai. “Orang ramai di daerah ini juga mematuhi PKP dan sentiasa beri kerjasama kepada pihak PDRM dan RELA dalam membendungi wabak Covid-19,” jelasnya.
Antara 26 Daerah Zon Hijau adalah seperti Bau, Lundu, Asajaya, Saratok, Pusa, Kabong, Maradong, Julau, Pakan, Kanowit, Selangau, Tatau, Sebauh, Dalat, Daro, Tanjung Manis, Marudi, Subis, BeluStatus zon hijau legakan orang ramai di Subis ru, Telang Usan, Kapit, Belaga, Song, Bukit Mabong, Lubok Antu dan Tebedu. Sementera itu, William Vincent (RELA Sebauh) berkata, pengawasan jalan raya dan memperketatkan pergerakan dari daerah ke daerah juga langkah yang mampu menghijaukan zon masing-masing.
“Mohon orang ramai tidak balik ke kampung ketika PKP ini kerana ianya akan menyebarkan virus ini di kampung. “Pergerakan orang awam di antara daerah hanya dibenarkan bagi kes-kes seperti menjalankan tugas rasmi, pekerja perkhidmatan penting (Essential Services), kematian ahli keluarga terdekat, ahli keluarga sakit tenat dan keperluan pemeriksaan kesihatan,” jelasnya.