KUCHING: Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS) bekerjasama dengan pengasas ladang menegak Singapura, Sky Urban Solutions, untuk memperkenalkan kaedah pertanian unik mereka ke Sarawak.
Dikenali sebagai perintis dan pemaju teknologi terkemuka dalam bidang pertanian menegak, STATOS menyatakan bahawa sistem penanaman yang dipatenkan Sky Urban telah memenangi beberapa anugerah reka bentuk tempatan dan antarabangsa dan ia merupakan pemain utama dalam usaha Singapura untuk meningkatkan pengeluaran makanan tempatan.
Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani pada 16 Mac antara ketua Sky Urban, Dr Ngiam Tong Tau dan Ketua Pegawai Eksekutif STATOS Chew Chang Guan.
Menteri Perdagangan dan Perindustrian Singapura Chan Chun Sing yang turut mengunjungi ladang sayur menegak Sky Greens pada hari tersebut, berkata penyelesaian baharu yang dikembangkan oleh syarikat teknologi makanan pertanian itu bukan sahaja menangani cabaran keselamatan makanan negara-kota itu tetapi juga dapat membantu negara-negara lain.
Perjanjian itu akan menyaksikan Statos bekerjasama dengan Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak untuk memperkenalkan teknologi tersebut kepada petani tempatan dan mencari lokasi sesuai dan pihak berminat di Sarawak dalam bekerjasama atau beroperasi sebagai francais.
Oleh kerana tingkat asas pertanian menegak ini menggunakan rangkaian kontena pelbagai guna, Statos berkata, kawasan tingkat bawah dapat memberikan peluang agro pelancongan dengan ruang untuk unit penginapan dan restoran atau kemudahan membeli-belah kepada pengunjung.
Pendekatan kepadatan tinggi baharu untuk pertanian yang menguntungkan dan boleh dipercayai boleh memberi nafas baru kepada masyarakat luar bandar terpencil di Sarawak.
“Ia juga mempunyai manfaat tambahan dengan menyediakan peluang pekerjaan baharu serta menarik minat generasi muda yang mahir teknologi bekerja dalam komuniti mereka sendiri,” kata Chew.
Sky Green adalah ladang tani menegak yang rendah karbon dan penggunaan hidraulik pertama di dunia.
“Ia menggunakan penyelesaian bandar hijau untuk mencapai pengeluaran sayur-sayuran yang selamat, segar dan enak sambil menggunakan sumber tanah, air dan tenaga yang minimum,” ujarnya.
Statos menyatakan pertanian jenis itu memerlukan kerangka setinggi sembilan meter dengan palung tumbuh 38 tingkat, yang dapat menampung tanah atau hidroponik.
Sistem itu juga tidak terhad kepada sayur-sayuran tetapi dapat digunakan untuk penternakan ikan dan udang di dalam lingkungan yang terkawal.
Untuk maklumat lanjut, Statos mengalu-alukan pertanyaan daripada mana-mana pihak yang berminat di Sarawak yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai sistem ini melalui pertemuan maya Zoom dan mereka boleh menghantar e-mel (info@statos.com.sg).
Oleh NUR AIN OTSMAN