
LIMBANG: Sarawak merancang perluas perdagangan ekonomi dan ekopelancongan ke Kalimantan Indonesia.
Sehubungan itu kerajaan Sarawak merancang membuka Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (STATO) di Kalimantan Indonesia selepas penubuhan sama dibuat di Singapura dan negara Brunei Darussalam.
Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata pejabat itu akan berfungsi sebagai platform untuk mempromosikan perdagangan dan budaya, serta membuka peluang baru dalam sektor ekonomi dan pelancongan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
“Kita sudah tubuhkan pejabat kita STATOS di Singapura dan STATOB di Brunei Darussalam dan kita juga bercadang untuk mewujudkan pejabat yang sama di Kalimantan Indonesia. Jadi ini dalam perancangan sekarang dan kita cuba nak mengenalpasti bangunan yang sesuai. Sebenarnya tahun lepas saya ada perancangan untuk pergi ke Pontianak untuk mengenalpasti bangunan yang sesuai tapi takda kesempatan.
Dalam tahun ini kita akan pergi ke sana untuk mengenalpasti pejabat yang sesuai untuk kita mewujudkan STATO di Kalimantan Indonesia,”katanya ketika ditemui media selepas majlis perasmian Anjung Usahawan Kampung Pahlawan, Limbang dan majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2025 di Kampung Pahlawan Limbang, hari ini.
Seterusnya, inisiatif ini menunjukkan komitmen Sarawak untuk memupuk kerjasama yang lebih erat dengan negara jiran dan integrasi serantau di Asia Tenggara, sekaligus meningkatkan pasaran perdagangan dan perniagaan di negeri ini.
Katanya, kerajaan amat menyedari pentingnya Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sebagai pemangkin kepada ekonomi dan untuk meningkat taraf hidup rakyat khususnya di luar bandar.
Melalui penubuhan STATO ini katanya IKS di Sarawak dapat diperluaskan pasaran produk dan perniagaan mereka ke luar negara, khususnya negara rantau Asia.
Turut hadir ADUN Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Residen Bahagian Limbang, Yunus Tambi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Datu Ubaidillah Latip dan Pegawai Daerah, Limbang Sulaiman Engal.
Oleh Adeng Edrus