KUCHING: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini melakar satu lagi pencapaian dengan perasmian bangunan pejabat baharu miliknya di Sarawak.
Pejabat SSM Sarawak yang baharu di Bangunan City Square, Jalan Pending ini telah dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato Sri Alexander Nanta Linggi pada pukul 10 pagi ini.
Bangunan pejabat yang berkeluasan 48,986 kaki persegi ini merupakan fasiliti yang dapat menggalakkan lebih ramai usahawan di Sarawak mendaftarkan entiti perniagaan mereka di bawah akta yang dikawalselia oleh SSM.
Pembukaan pejabat baharu SSM ini membuktikan bahawa SSM sentiasa peka dan mengambil berat keperluan komuniti perniagaan terutamanya di negeri ini, di samping dapat memberikan kemudahan terbaik kepada komuniti niaga di Sarawak.
Untuk makluman, Pejabat Pendaftar Syarikat di Sarawak mula beroperasi pada 1967 di Electra House Kuching dan telah berpindah ke Bangunan Bank Negara pada 1978.
Seterusnya, pada April 2004, SSM berpindah ke Bangunan Sultan Iskandar, Simpang Tiga sebelum berpindah lagi ke Wisma Sarawak Timber Association (STA).
Pada 7 Ogos 2017, SSM Sarawak telah berpindah masuk ke bangunan yang serba moden ini, yang terletak di City Square, Jalan Pending.
Bangunan berkeluasan 49,000 kaki persegi ini, menjadi kebangaan semua warga SSM yang kini tidak perlu lagi menyewa bagi menawarkan perkhidmatan terbaik kepada komuniti niaga di Sarawak.
Menurut statistik SSM, sehingga 31 Oktober 2022, terdapat sebanyak 94,229 syarikat dan 3,158 PLT di Sarawak yang berdaftar dengan SSM.
Semasa program berlangsung, Alexander turut menyampaikan dan menyaksikan persembahan agihan Wakalah Zakat Korporat SSM serta sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SSM kepada 15 rumah kebajikan berjumlah RM75,000.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) yang juga bekas Anggota SSM, Datuk Abdullah Saidol, Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Anggota SSM, Kilat Beriak, dan bekas Anggota SSM, Tan Kee Heng.
Oleh NUR AIN OTSMAN