
KUCHING: Kawasan Square Tower di Tebingan Sungai Kuching kini secara rasmi diwartakan sebagai gelanggang tetap bagi penganjuran Kejohanan Muaythai Piala Tuan Yang Terutama (TYT) Sarawak dan Piala Borneo yang akan datang.
Keputusan tersebut dibuat susulan kelulusan yang diberikan oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) kepada Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS).
Datuk Bandar DBKU, Dato Hilmy Othman, berkata langkah ini sejajar dengan usaha memartabatkan sukan tempur itu di lokasi terbuka dan strategik, sekali gus mengembalikan semula suasana kejohanan ke tapak asal penganjurannya di pusat bandar Kuching.
“Lokasi ini dipilih kerana daya tarikannya sebagai destinasi pelancongan serta sokongan padu daripada penduduk tempatan, yang menjadikan acara ini lebih meriah dan terbuka kepada umum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pengenalan peserta Kejohanan Muaythai Piala TYT dan Piala Borneo 2025 di Square Tower, malam tadi.
Tambahnya, kerjasama erat antara DBKU dan PMNS bakal menyaksikan Tebingan Sungai Kuching dijadikan venue rasmi bagi penganjuran Muaythai Challenge sepanjang tahun.
Menurut Hilmy, langkah ini juga merupakan sebahagian daripada strategi mempromosikan Kuching sebagai hab sukan dan pelancongan bertaraf antarabangsa.
Beliau menegaskan bahawa DBKU komited menyokong penganjuran kejohanan muaythai bertaraf dunia, selaras dengan perkembangan positif sukan tersebut di Sarawak.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden PMNS, Jumaat Ibrahim atas dedikasi berterusan memperkasa dan memperluas pengaruh muaythai di negeri ini.
“Usaha konsisten PMNS akhirnya membuahkan hasil apabila Sarawak kini dikenali sebagai antara negeri terkuat dalam arena muaythai negara, apatah lagi selepas muncul juara keseluruhan pada SUKMA ke-21 tahun lalu,” ujarnya.
Edisi kali ini menyaksikan penyertaan 250 atlet dari pelbagai negara termasuk Indonesia, Brunei, Filipina, Thailand, United Kingdom, Yaman dan Iran, yang akan berentap dalam 130 perlawanan kategori Muaythai Muaysport serta 16 pertarungan Superfight Pro.
Oleh Amanda L.