
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyokong penuh usaha kerajaan Sarawak memperkukuh agenda integriti, tadbir urus dan antirasuah menerusi pelbagai inisiatif strategik demi melahirkan perkhidmatan awam yang lebih telus, amanah dan bertanggungjawab.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, SPRM sentiasa bersedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak yang komited dalam memperkukuh integriti dan tadbir urus.
“Usaha yang digerakkan oleh kerajaan Sarawak ini merupakan satu inisiatif yang amat baik dan wajar diberikan sokongan sepenuhnya demi merealisasikan aspirasi negara bebas rasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat delegasi Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), Jabatan Premier Sarawak di Ibu Pejabat SPRM.
Delegasi UNIONS diketuai Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak membincangkan kerjasama strategik dan hala tuju antara SPRM dan UNIONS bagi memperkukuh agenda integriti.
Sementara itu, Juanda berkata kerajaan Sarawak tidak berkompromi dengan sebarang salah laku dan menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk siasatan sekiranya terdapat unsur jenayah rasuah di negeri berkenaan.
Beliau berkata kerajaan negeri memandang serius isu rasuah sebagai usaha memastikan pentadbiran kerajaan negeri terus berteraskan integriti dan tadbir urus baik.
Menurutnya, sehingga kini sebanyak 210 Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) telah ditempatkan di pelbagai kementerian, jabatan dan agensi di bawah kerajaan negeri bagi memperkukuh pembudayaan integriti dalam perkhidmatan awam negeri.
Juanda turut menyampaikan jemputan kepada Abd Halim untuk menyertai Persidangan Integriti, Tatakelola dan Antirasuah (PINTAR) sebagai ahli panel pada 11 dan 12 Ogos depan dan menghadiri Hari Integriti Sarawak 2026 sebagai tetamu khas.
Turut hadir Pengarah SPRM Sarawak Datuk Hasbilah Mohamad Salleh, Pengarah UNIONS Wan Mohamad Wan Drahman dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kewangan dan Pematuhan UNIONS, Saripah Aziah Wan Yon. – Bernama