‘Spider-Man: Brand New Day’ pecah rekod pembukaan, kalahkan ‘Avengers: Endgame’

Facebook
WhatsApp
PELAKON Britain, Tom Holland menghadiri tayangan perdana UK Spider-Man: Brand New Day di London pada 29 Julai 2026. Filem terbaharu Sony dan Marvel itu mencatat kutipan pembukaan AS$355 juta di Amerika Utara, kedua tertinggi dalam sejarah selepas Avengers: Endgame (2019). Foto AFP

LOS ANGELES: Spider-Man: Brand New Day mencipta sejarah apabila mencatat kutipan pembukaan hujung minggu tertinggi sepanjang zaman di pawagam domestik Amerika Syarikat (AS) dan Kanada, menurut angka terkini yang dikeluarkan semalam.

Filem terbaharu dalam francais adiwira Marvel itu, yang sekali lagi menampilkan pelakon Britain, Tom Holland, sebagai watak utama, meraih kutipan sebanyak AS$360 juta, meningkat daripada anggaran awal AS$355 juta yang diumumkan pada Ahad, menurut syarikat produksi Sony Pictures.

Kejayaan itu menyaksikan Brand New Day memecahkan rekod yang sebelum ini dipegang oleh Avengers: Endgame terbitan Disney, yang mencatat kutipan pembukaan sebanyak AS$357 juta pada 2019, tanpa mengambil kira kadar inflasi.

Dengan kemas kini angka kutipan domestik itu, jumlah kutipan global filem berkenaan pada hujung minggu pembukaannya kini mencecah AS$932 juta. Bagaimanapun, jumlah itu masih berada di belakang Avengers: Endgame, yang kekal sebagai filem dengan kutipan pembukaan global tertinggi sebanyak AS$1.2 bilion.

Diarahkan oleh Destin Daniel Cretton, Spider-Man: Brand New Day mengisahkan Peter Parker (Tom Holland) yang hidup dalam pengasingan selepas memadam identitinya daripada ingatan seluruh dunia, selain bergelut dengan perubahan terhadap kuasa mutannya.

Dalam usahanya untuk menjalin semula hubungan dengan bekas teman wanitanya, MJ (lakonan Zendaya, yang juga isteri Holland dalam kehidupan sebenar), serta sahabat baiknya, Ned (Jacob Batalon), Spider-Man berdepan ancaman baharu yang mengancam New York City.

Turut membintangi filem itu ialah Mark Ruffalo, Florence Pugh dan Sadie Sink. Filem berkenaan menjadi pembuka tirai kepada Avengers: Doomsday, yang dijadualkan ditayangkan pada Disember ini.

Majalah hiburan Variety menyifatkan prestasi pembukaan Brand New Day sebagai “sukar dipercayai”, sambil menyatakan bahawa filem itu dan Avengers: Endgame merupakan dua filem sahaja yang pernah mencatat kutipan melebihi AS$300 juta dalam tempoh satu hujung minggu.

Kejayaan Brand New Day turut mencuri perhatian kerana ia dicapai meskipun berdepan saingan hebat daripada filem blockbuster terbaharu arahan Christopher Nolan, The Odyssey, yang ketika ini mendominasi tayangan di skrin IMAX.

Spider-Man: Brand New Day dijadual memulakan tayangan dalam format IMAX bermula hujung minggu ini, sekali gus dijangka terus mengukuhkan statusnya sebagai filem pecah panggung terbaharu tahun ini. – AFP