Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • eBantuanJKM tingkat kecekapan penyaluran bantuan kebajikan
  • SEMASA

eBantuanJKM tingkat kecekapan penyaluran bantuan kebajikan

Utusan Sarawak 23 hours ago
MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri bersama tetamu kehormat yang lain dalam Majlis Perasmian Penggunaan eBantuanJKM di Hotel Raia Kuching, hari ini. Foto UKAS

KUCHING: Sistem Pengurusan Bantuan Kebajikan (eBantuanJKM) kini secara rasmi digunakan di Sarawak dalam usaha memperkasa pengurusan bantuan kebajikan dengan lebih cekap, telus dan berintegriti.

Pelancaran rasmi sistem tersebut disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri dalam Majlis Perasmian Penggunaan eBantuanJKM di Hotel Raia Kuching, hari ini.

Menurut Nancy, pelaksanaan eBantuanJKM merupakan pengiktirafan kepada usaha gigih seluruh warga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang komited menyantuni masyarakat rentan dengan penuh empati dan profesionalisme.

“Pengurusan bantuan kewangan adalah antara nadi utama JKM. Tahun ini sahaja, lebih RM2.49 bilion diperuntukkan oleh kerajaan. Ini satu amanah besar yang menuntut pengurusan telus, cekap dan berintegriti,” katanya.

Tambah beliau, bagi tempoh Januari hingga April 2025 sahaja, seramai 55,184 individu di Sarawak telah menerima bantuan bulanan daripada JKM melibatkan peruntukan melebihi RM98.8 juta daripada Kerajaan Persekutuan.

Katanya, jumlah tersebut mencerminkan keperluan kepada satu sistem pengurusan bantuan yang lebih cekap agar bantuan dapat sampai kepada penerima tepat pada masanya.

“eBantuanJKM diperkenalkan bagi memastikan proses penyaluran bantuan lebih tersusun, pemantauan lebih menyeluruh serta data yang lebih tepat, terutamanya di Sarawak yang mempunyai geografi luas dan penerima bantuan yang ramai,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kementeriannya kini dalam usaha membangunkan sistem baharu iaitu Sistem Pengurusan Bantuan Kebajikan 2.0 (SPBK 2.0) yang dijadualkan untuk menggantikan eBantuanJKM menjelang akhir tahun 2026.

“Sistem sedia ada telah beroperasi lebih 15 tahun dan kini berdepan kekangan teknologi. Maka, SPBK 2.0 hadir sebagai solusi berimpak tinggi, selaras dengan inisiatif MyDIGITAL dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia,” katanya.

SPBK 2.0 bakal beroperasi sepenuhnya secara dalam talian, menggunakan platform digital yang selamat, berintegriti dan mesra pengguna. Sistem ini akan memanfaatkan teknologi terkini seperti business intelligence, Sistem Maklumat Geografi (GIS), notifikasi automatik, dan komputasi awan.

Lebih menarik, SPBK 2.0 akan turut berintegrasi dengan pelbagai sistem kerajaan sedia ada seperti Pangkalan Data Utama (PADU), eKASIH, Sistem Perakaunan Akruan Kerajaan Negeri (iSPEKS), sistem bersepadu Pengurusan Kewangan dan Perakaunan Kerajaan (iGFMAS), myIDENTITY dan Pertukaran Data Pusat Kerajaan Malaysia (MyGDX) yang akan membolehkan proses siasatan serta pemberian bantuan dijalankan secara lebih pantas dan tepat berdasarkan data yang sahih.

“Inilah contoh penambahbaikan sejajar dengan pendekatan keseluruhan kerajaan untuk penyampaian perkhidmatan yang bersepadu, pantas dan responsif kepada keperluan rakyat,” jelas beliau.

Kementerian optimis bahawa penggunaan eBantuanJKM dan pembangunan SPBK 2.0 bukan sahaja meningkatkan kecekapan dari sudut teknikal, malah membudayakan cara kerja yang progresif dan berfokus kepada rakyat.

Beliau turut menegaskan bahawa langkah transformasi digital ini adalah seiring dengan hasrat membina masyarakat digital yang inklusif dan saksama seperti yang digariskan dalam agenda Malaysia MADANI dan Pelan Transformasi Perkhidmatan Digital Sektor Awam.

Oleh Norman B.

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Bas, kenderaan berat wajib guna SLD bermula 1 Oktober
Next: Tiong nafi dakwaan abaikan kawasan selepas jadi menteri

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.