KUCHING: Aplikasi e-dompet Sarawak, Sarawak Pay yang kini dikenali sebagai SPay Global, sekarang menerima pakai QR DuitNow iaitu QR Standard Kebangsaan Malaysia dan menyertai ekosistem DuitNow yang dikendalikan oleh Payments Network Malaysia (PayNet).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata inisiatif itu merupakan sebahagian usaha kerajaan Sarawak memacu ekonomi negeri ke arah menjadi negeri berpendapatan tinggi dan berstatus maju menjelang 2030 melalui transformasi digital.
“Saya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa SPay Global telah mengorak langkah yang lebih besar dengan menyediakan kemudahan ’Interoperable QR’ di bawah platform DuitNow oleh PayNet.
“Kemudahan jaringan perkhidmatan ini membolehkan pemindahan dana tersedia 24/7 dengan dana dikreditkan serta-merta kepada penerima,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada majlis pelancaran Karnival Celik Kewangan Sarawak 2024 di pusat beli belah Viva City di sini, hari ini.
S Pay Global adalah penjenamaan semula Sarawak Pay, sebuah aplikasi mudah alih yang menyediakan platform untuk pembayaran tanpa tunai yang lebih mudah, pantas dan selamat.
Dalam perkembangan sama, Abang Johari juga berkata Spay Global akan dilengkapi dengan kemudahan ’QR Rentas Sempadan’ yang akan memudahkan pelancong membuat pembayaran.
Katanya, pelancong hanya perlu membuat bayaran menggunakan aplikasi perbankan mudah alih dan e-dompet mereka dengan hanya mengimbas kod QR DuitNow semasa melawat Malaysia.
”Ini adalah satu inisiatif yang sangat baik untuk ekonomi wilayah Sarawak kerana status perkembangan ekonomi di Kepulauan Borneo terutamanya dengan pemindahan ibu negera Indonesia dari Jakarta ke Nusantara di Kalimantan,” tambahnya.
Untuk rekod, SPay Global mencatatkan transaksi bernilai RM4.2 bilion dengan 770,000 pengguna dan 91,000 peniaga berdaftar sejak ia dilancarkan pada November 2017.
Sementara itu, beliau memaklumkan setakat ini sebanyak lapan unit bank bergerak yang menyediakan perkhidmatan kewangan telah diwujudkan di 24 lokasi di kawasan luar bandar Sarawak.
Inisiatif ini merupakan kerjasama antara kerajaan Sarawak dengan Bank Negara Malaysia dan institusi kewangan sejak 2021 dalam usaha memastikan tiada yang ketinggalan dalam agenda ekonomi digital dan kewangan.
Turut hadir ialah Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato Seri Abdul Rasheed Abdul Ghaffour; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Ruji Ubi dan wakil agensi berkaitan.
Oleh RYNNA SHA’ERRA