ALEXANDRA LORNA
KUCHING: Rakyat Sarawak diseru untuk kekal patuh dan tidak alpa terhadap prosedur operasi standard (SOP) serta protokol yang telah ditetap khususnya dalam musim perayaan ini untuk mengelakkan gelombang kedua wabak Covid-19.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata walaupun diberi kelonggaran semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), rakyat diingatkan untuk tidak alpa akan SOP yang ditetapkan.
“Suasana Hari Raya kali ini juga amat berlainan sekali dengan apa yang telah menjadi amalan kita sebagai umat Islam kerana kita perlu mematuhi SOP dan protokol semasa perayaan dalam tempoh PKPB ini.
“Kita tidak dibenarkan ke masjid untuk bertakbir dan sembahyang Sunat Aidilfitri, tidak digalakkan untuk menziarahi sanak-saudara dan keluarga terdekat secara beramai-ramai; itupun dibenarkan untuk hari pertama sahaja, tidak mengadakan rumah terbuka, tidak dibenarkan bersalaman dan dikehendaki menjaga jarak sosial.
“Anggaplah semua ini sebagai dugaan kepada kita dan tanggungjawab bersama untuk mempastikan wabak Covid-19 dapat diatasi secepat mungkin,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2020.
Beliau berkata bulan puasa telah dilalui tanpa kemeriahan bazar Ramadan, tanpa solat berjemaah dan terawih, dan sebagainya di masjid atau surau.
“Namun, kita berjaya mengharungi semua cabaran ini dan di sebalik semua cabaran ini kita diberi peluang dan ruang untuk sentiasa berada dekat dengan ahli keluarga dalam pelbagai aktiviti kekeluarga,” ujar beliau.
Beliau kemudian menyatakan ekonomi negeri telah dibuka secara bersyarat mulai 12 Mei dan beliau berterima kasih kepada semua rakyat kerana mematuhi SOP yang telah ditetapkan di premis-premis perniagaan dan tempat-tempat kerja.
“Pematuhan kepada SOP mengajar kita supaya sentiasa bersabar kerana terpaksa berbaris, menjarakkan diri daripada orang lain di sekeliling kita, bergilir-gilir untuk diperiksa suhu badan, mensanitasi tangan dan sebagainya.
“Saya berdoa semoga dengan pematuhan kepada SOP kita semua akan bebas daripada jangkitan virus Covid-19, Insyallah,” katanya.
Beliau menambah sebagai sebuah Kerajaan yang prihatin kepada kesulitan dan kemusyikan yang dihadapi oleh rakyat semenjak PKP dan PKPB dilaksanakan mulai 18 Mac yang lalu Kerajaan Sarawak telah melaksanakan program-program Bantuan Khas Sarawakku Sayang atau BKSS 1.0, 2.0 dan 3.0 untuk meringankan beban rakyat, membantu peniaga-peniaga kecil dan industri kecil dan sederhana dalam mengatasi kekangan untuk beroperasi semula setelah sekian lama ditutup.
“Dan tidak dapat dinafikan ada yang telah hilang pekerjaan atau perniagaan terpaksa ditutup akibat penutupan hampir kesemua sektor ekonomi selama tiga fasa PKP.
“Saya amat berharap bantuan-bantuan langsung dan tidak langsung melalui BKSS 1.0, BKSS 2.0 dan BKSS 3.0 dapat meringankan sedikit kesulitan yang dihadapi.
“Keseluruhannya RM 2.6 bilion telah diagihkan untuk melaksanakan tiga pakej bantuan khas tersebut. Hampir kesemua rakyat Sarawak berumur 21 tahun ke atas telah dan akan mendapat bantuan kerana kerajaan sentiasa berusaha untuk bersifat inklusif untuk manfaat semua rakyat,” jelas beliau.
Abang Johari berkata Kerajaan juga telah dengan sedaya upaya menyediakan bantuan makanan kepada seluruh rakyat Sarawak khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman ketika PKP berkuat kuasa.
“Selain itu kerajaan juga telah membekalkan 2 juta topeng muka percuma kepada rakyat dan RM10 juta untuk menyediakan Personal Protection Equipment atau PPE kepada warga kesihatan dan petugas-petugas lain yang memerlukan alat tersebut,” kata beliau.
Katanya ,program bantuan BKSS merupakan langkah jangka pendek untuk membantu rakyat, perniagaan dan industri kecil dan sederhana.
“Sebagai sebuah Kerajaan yang juga memikirkan impak jangka panjang Covid-19 kepada ekonomi negeri ini, program jangka panjang juga telah digubal untuk mempastikan ekonomi Sarawak terus mampu berkembang sehingga ke 2030.
“Program pasca Covid-19 Sarawak berpaksikan ekonomi digital dan kelestarian alam sekitar memberi tumpuan kepada sembilan (9) sektor iaitu pertanian komersil, pengeluaran, perlombongan, perhutanan, pelancongan, Infrastruktur asas, perkhidmatan, pusat data dan Innovasi, dan tenaga yang boleh diperbaharu,” katanya.
Beliau berkata sebuah jawatankuasa yang dinamakan Sarawak Economic Action Council telah ditubuhkan untuk mendapatkan input daripada pelbagai pihak yang berkepentingan atau stakeholders.
“Saya amat berharap input-input yang diterima nanti yang akan diperhalusi oleh Kerajaan Negeri bakal menjadi landasan yang kukuh untuk memulihara dan memperkasakan ekonomi Sarawak secara jangka panjang,” katanya.