SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh, 82 tahun bersedia untuk mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13 (PRN13) demi Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Menurutnya, jika diperlukan oleh pucuk pimpinan parti dan GPS, beliau sedia untuk bertanding semula.
“Jika rakyat masih mahukan saya (bertanding semula) dan mendapat restu parti termasuk Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, saya bersedia untuk mempertahankan kerusi Bawang Assan selaku penyandangnya.
“Saya percaya rakyat masih mahukan saya kerana saya masih lagi boleh berkhidmat, namun semua ini terletak di tangan pucuk pimpinan GPS untuk menentukannya,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan tiga cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada tiga persatuan di sini, hari ini.
Soon Koh, bekas menteri negeri menyatakan bahawa kerusi Bawang Assan yang disandangnya adalah melalui PDP yang baru disertainya.
“Saya baru menyertai GPS melalui PDP dan kini sudah layak mendapat geran. Memandangkan saya menyertai parti pada Mei lalu, maka geran yang disalurkan kepada saya tidak penuh.
“Saya layak mendapat RM2 juta daripada MRP, RM5 juta daripada projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan RM1 juta melalui Program Perumahan Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS), dengan kesemuanya berjumlah RM8 juta setahun,” katanya yang juga Naib Presiden Kanan PDP.
Justeru, Wong berharap mulai tahun depan beliau akan mendapat geran penuh tersebut untuk rakyat di kawasannya.
Jelas beliau, dengan geran yang terhad tahun ini, beliau akan sedaya upaya berlaku adil mengagihkannya mengikut keperluan rakyat.
“Kawasan DUN Bawang Assan adalah sangat besar dan diharapkan dengan menerima geran penuh mulai tahun hadapan, saya akan memastikannya dapat diagih dengan seadil mungkin. Bayangkan Bawang Assan mempunyai 105 rumah panjang, saya juga kena jaga komuniti Cina yang lain.
“Tetapi mulai tahun hadapan, saya yakin geran ini pasti akan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, Wong menggesa rakyat di kawasannya supaya memohon geran berkenaan dengan menghantar permohonan mereka ke pusat khidmatnya untuk dipertimbangkan mendapat geran megikut keperluan.
Tiga persatuan yang menerima MRP daripada Soon Koh hari ini adalah Mingchiang Tunhion Huay Sibu, Persatuan Foochow Sibu-Park Fund dan Persatuan Foochow Sibu-Cetennial Building For Sibu Foochow Settlement.
Hadir sama Pengerusi PDP Bahagian Bawang Assan, Kaunselor Wong Hua.