BELAGA: Ketua Pergerakan Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS), Dato Sri Doris Sophia Brodie menegaskan bahawa wanita merupakan tunjang kekuatan organisasi parti dan memainkan peranan penting dalam memastikan kesinambungan perjuangan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Beliau berkata wanita bukan sahaja memperkukuhkan jentera politik parti, malah menjadi penggerak utama dalam menyampaikan dasar kerajaan serta mendekati rakyat di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, berdasarkan data Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12), daripada kira-kira 1.25 juta pengundi berdaftar, lebih 630,000 atau sekitar 50.4 peratus merupakan pengundi wanita.
Katanya, pada pilihan raya itu, GPS berjaya memenangi 76 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus membuktikan bahawa sokongan wanita menjadi antara faktor utama kejayaan gabungan tersebut.
Doris berkata pencapaian itu perlu dijadikan pemangkin untuk terus memperkukuhkan semangat perjuangan, kesetiaan dan iltizam dalam kalangan ahli wanita bagi memastikan GPS terus memperoleh mandat yang lebih besar pada pilihan raya akan datang.

“Kemenangan tidak akan datang bergolek. Ia hanya dapat dicapai melalui perpaduan yang kukuh, kerja berpasukan yang mantap, kesungguhan berjuang serta komitmen yang tidak pernah luntur.
“Jika kita bersatu hati dan terus bekerja untuk rakyat, tidak mustahil GPS mampu mempertahankan malah menambah kemenangan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jelajah ‘Jom Sedia’ Wanita PRS 2026 bagi Zon Utara (Fasa 1) melibatkan DUN Murum dan DUN Belaga di Dewan Lamin Adet Uma Baha, Sungai Asap, di sini, hari ini.
Dalam ucapannya, beliau turut menggesa seluruh ahli Wanita PRS dan semua komponen GPS agar terus memperkukuhkan ilmu, meningkatkan kemahiran kepimpinan serta menguasai literasi digital bagi memastikan parti kekal relevan.
Beliau berkata semangat kebersamaan dan kerjasama antara semua anggota parti perlu terus dipupuk bagi memenuhi aspirasi rakyat serta menghadapi cabaran politik dan pembangunan yang semakin mencabar.

Program anjuran Biro Pendidikan Pergerakan Wanita PRS itu bertujuan memperkukuh kesiapsiagaan jentera wanita parti, memperkasakan kepimpinan akar umbi serta mengukuhkan kesepaduan dalam kalangan ahli Wanita PRS dan GPS.
Sepanjang program itu, penekanan turut diberikan kepada isu ekonomi, pendidikan, tenaga, alam sekitar dan politik sebagai antara aspek penting dalam memperkasakan peranan wanita dalam pembangunan Sarawak.
Program tersebut turut menghimpunkan penyertaan Wanita GPS dari Murum dan Belaga, sekali gus memperlihatkan semangat kerjasama, perpaduan dan kesepakatan yang utuh dalam kalangan komponen GPS di Zon Utara.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai, barisan Pemuda PRS Murum serta beberapa Ketua Kaum dari kawasan DUN Murum.
Oleh Adi Safarman



