
SIMANGGANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor menzahirkan sokongan penuh terhadap pembangunan sukan pickleball dalam kalangan belia sebagai usaha memperkukuh semangat kesukanan, membina silaturahim dan membudayakan gaya hidup sihat dalam komuniti setempat.
Menurut beliau, sukan pickleball yang semakin popular di peringkat antarabangsa dan kini mula berkembang di Malaysia mampu menjadi platform terbaik untuk menarik penglibatan aktif golongan muda dalam aktiviti riadah dan sukan yang sihat serta menyeronokkan.
“Saya menyokong penuh usaha untuk memperkenalkan dan memperkasa sukan pickleball dalam kalangan belia disini. Ia bukan sahaja satu bentuk hiburan sihat, tetapi juga medium yang sangat baik untuk mengeratkan hubungan sesama komuniti serta membentuk disiplin dan jati diri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Pickeball Sri Aman Paddle Clash 2025 bertempat di Gelanggang Bola Keranjang, YB Datuk Francis Harden, RPR Sri Aman, dekat sini malam kelmarin.

Dayang Noorazah turut menggalakkan agar lebih banyak penganjuran sukan ini dianjurkan di peringkat kampung dan sekolah sebagai langkah awal untuk memperluas penyertaan dan minat dalam kalangan belia luar bandar, sekaligus mencungkil bakat baharu dalam sukan ini.
Tambah beliau, sokongan padu daripada komuniti setempat serta kerjasama agensi kerajaan, pertubuhan belia dan badan bukan kerajaan (NGO) amat penting dalam memastikan sukan ini terus berkembang secara mampan di kawasan luar bandar seperti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga.
“Sukan bukan sekadar bersaing untuk menang, tetapi turut berperanan penting dalam membentuk masyarakat yang sihat, bersatu dan berdaya tahan. Melalui sukan pickleball, kita dapat menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan belia dari pelbagai latar belakang,” jelasnya lagi.
Beliau berharap dengan sokongan yang berterusan, sukan pickleball akan menjadi salah satu aktiviti utama belia di kawasan DUN Lingga, sekali gus menyumbang ke arah pembangunan komuniti yang aktif, progresif dan harmoni.
Oleh Adi Safarman