
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh kedudukannya dalam industri semikonduktor dengan kejayaan program latihan anjuran Semikonduktor Reka Bentuk Mikroelektronik (SMD) Sarawak, yang berjaya melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir tempatan.
Program SMD Sarawak Mastery Programme bagi Reka Bentuk Analog Integrated Circuit (IC) dan Pembangunan Penyelesaian Ujian IC menamatkan kohort kedua dengan pencapaian cemerlang baru-baru ini. Inisiatif tersebut bertujuan melengkapkan peserta dengan kemahiran teknikal dalam reka bentuk, susun atur dan ujian IC sejajar dengan keperluan industri semikonduktor yang semakin berkembang.
Kejayaan program ini seiring dengan usaha kerajaan negeri untuk menjadikan Sarawak sebagai ‘silicon nerve centre of Asia’, dengan pelaburan strategik dalam pembangunan tenaga kerja dan infrastruktur semikonduktor.
Menurut Pengerusi SMD Sarawak yang juga Setiausaha Kewangan Negeri, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, inisiatif seperti ini memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negeri.
“Kejayaan program ini menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha kita melengkapkan bakat tempatan dengan kemahiran khusus yang diperlukan industri.
“Dengan melabur dalam pembangunan bakat, kita sedang membina ekosistem yang menyokong inovasi, pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan bernilai tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan SMD 2nd Cohort Semiconductor Mastery Programme di sini, hari ini.
Program ini turut mendapat sokongan daripada Melexis NV, X-FAB Sarawak dan Centre for Technology Excellence Sarawak (Centexs) yang menyediakan latihan praktikal serta bimbingan kepada peserta, memastikan mereka bersedia untuk memasuki industri.

Bersandarkan kejayaan dua kohort pertama, SMD Sarawak mengumumkan pelancaran kohort ketiga program ini yang dijadualkan bermula pada Oktober 2025 dengan modul latihan yang lebih komprehensif dan kolaborasi industri yang lebih luas.
Selain itu, syarikat itu turut memperkenalkan kursus baharu dalam Digital IC Design yang akan bermula pada Ogos 2025. Kursus ini dijangka membuka lebih banyak peluang kepada peserta untuk mendalami teknologi semikonduktor yang semakin berkembang pesat.
Ketua Pegawai Eksekutif SMD Sarawak, Shariman Jamil berkata pihaknya akan terus memberi penekanan kepada latihan berkualiti tinggi bagi memastikan peserta bersedia menghadapi cabaran industri.
“Kami komited untuk melahirkan tenaga kerja semikonduktor bertaraf dunia. Kohort ketiga akan membawa program ini ke tahap lebih tinggi dengan lebih banyak kepakaran industri serta pembelajaran praktikal yang mendalam,” katanya.
Program latihan ini bukan sahaja bertujuan membangunkan bakat tempatan tetapi juga dijangka memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Dengan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam bidang semikonduktor, Sarawak berpotensi menarik lebih banyak pelaburan syarikat teknologi tinggi, sekali gus menjadikan negeri ini hab utama semikonduktor di Malaysia dan Asia.
Oleh Amanda L.