KUCHING: Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) mempunyai peranan yang luas dalam mentransformasikan Sarawak ke arah pendigitalan, kata Pengurus Besar SMA, Ts. Dr. Zaidi Razak.
Menurutnya, peranan SMA bukan hanya berkaitan dengan telekomunikasi sahaja malah, SMA telah membangunkan 154 inisiatif yang mendukung mendigitalkan Sarawak.
Jelasnya, daripada 154 inisiatif tersebut, 64 dibangunkan sepenuhnya oleh SMA manakala bakinya diwujudkan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta di Sarawak.
“Kita amat berbangga apabila menerima Anugerah Reka Cipta London di London tahun lalu menerusi pembangunan aplikasi iSarawakCare yang menyatukan pelbagai permohonan melalui pendigitalan.
“Ironinya, secara prinsip kita berjaya mengubah cara kerja satu kementerian kepada platform digital apabila pemohon dapat mengakses permohonan mereka daripada peringkat awal hingga akhir,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis kunjungan hormat daripada rombongan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (SPANS) yang diketuai oleh Pengerusinya, Datu Dr. Sabariah Putit di Pejabat SMA di sini, semalam.
Sementara itu, Zaidi memberitahu, inisiatif lain yang dibangunkan oleh SMA ialah aplikasi Sarawak ID apabila sehingga kini mempunyai 881, 538 pengguna berdaftar.
“Banyak perkhidmatan yang ditawarkan oleh Kerajaan Sarawak melalui Sarawak ID apabila turut menyatukan perkhidmatan sektor kerajaan dan swasta.
“Malah, negeri-negeri lain di Malaysia ingin membangunkan Sarawak ID sama seperti kita tetapi masih belum berjaya sehingga kini kerana aplikasi berkenaan memerlukan daftar masuk tunggal (single sign on),” katanya.
Mengulas mengenai pembangunan infrastruktur lain yang dibangunkan oleh SMA, Zaidi menambah, sebuah lagi Hab Inovasi Digital (Digital Innovation Hub – DIH) telah ditubuhkan dan beroperasi di Kapit.
Justeru, beliau berharap agar anak-anak muda mengambil peluang untuk terlibat dengan perkhidmatan digital yang disediakan oleh SMA melalui inisiatif-inisiatif terbabit.
Oleh NUR AIN OTSMAN