LONDON: Arne Slot sedia berdepan cabaran untuk menggilirkan pemainnya ketika pengurus Liverpool itu terpaksa mengharungi aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara dalam tempoh beberapa hari.
Pasukan kendalian Slot melayan kunjungan Nottingham Forest malam esok bagi aksi pertama daripada tujuh perlawanan dalam tempoh 22 hari sebelum bertandang ke AC Milan bagi memulakan kempen Liga Juara-Juara awal pagi Rabu depan.
Pengendali dari Belanda itu hanya melakukan satu perubahan dalam kesebelasan utamanya bagi tiga perlawanan pertama kendaliannya selepas menggantikan Jurgen Klopp musim ini.
Ketenangan Slot berbaloi ketika Liverpool mudah mencatat kemenangan ke atas Ipswich, Brentford dan Manchester United.
Sepanjang bertugas sebagai bos Feyenoord, Slot agak keberatan melakukan rombakan skuad kerana beliau lebih suka skuad yang mantap.
Namun beliau tidak boleh melakukannya di Anfield dan bersedia mengubah falsafahnya menjelang jadual padat yang akan ditempuhi Liverpool.
“Bersama bekas pasukan saya, kami mampu bermain hampir setiap perlawanan dengan pemain yang sama tetapi ia liga berbeza jadi saya mungkin terpaksa menyesuaikannya, tetapi ia juga bergantung kepada apa yang mereka tunjukkan dari segi fizikal,” kata Slot kepada wartawan hari ini.
“Dalam tiga perlawanan pertama kami amat kuat dari segi fizikal tetapi kami bermain satu perlawanan setiap tujuh hari. Kini mereka ada sesuatu yang perlu dibuktikan.
“Saya anggap mereka mahu bermain setiap perlawanan, jadi jika mereka mahu mereka perlu hadir setiap kali dari segi kualiti dan terutamanya tahap kerja.
“Kami mempunyai lebih daripada 11 pemain yang amat bagus jadi saya boleh menggunakan lebih ramai lagi.”
Slot sudah boleh mengetepikan seorang pemain daripada penggilirannya selepas Harvey Elliot mengalami kecederaan kaki ketika tugasan bersama pasukan B-21 England baru-baru ini.
“Jika dia kekal cergas dia akan mendapat banyak minit permainan dalam perlawanan selepas ini, tetapi kini ia memberi peluang kepada pemain lain,” kata Slot. – AFP